UMNO Beruas – Saingan Sengit Pertandingan Ketua Bahagian

Written By marhain jelata on 29 Julai 2008 | 4:31:00 PTG

Ketua UMNO Bahagian Beruas, Dato’ Haji Hamdi Abu Bakar ditentang oleh Naib Ketua Bahagian, Abdul Manaf Hashim dalam pemilihan yang akan diadakan pada bulan Oktober atau November depan. Setakat ini Dato’ Haji Hamdi mendapat 4 pencalonan manakala Abdul Manaf juga mendapat 4 pencalonan untuk jawatan tersebut daripada 8 cawangan yang telah selesai mengadakan mesyuarat.

Dalam pilihanraya umum yang lalu, Dato’ Haji Hamdi berjaya mengekalkan penguasaannya di kerusi N.36 Pengkalan Bharu setelah mengalahkan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Husein dengan majoriti 14 undi.

Setakat ini hanya Dato’ Haji Hamdi dan Abdul Manaf menawarkan diri untuk bertanding kerusi nombor 1 UMNO Bahagian Beruas manakala jawatan Timbalan Ketua Bahagian diberitakan akan ditandingi oleh Ketua Pemuda Bahgian, Mohd Ali Hj Mansor dan Ketua Penerangan Bahagian, Azhar Ahmad. Penyandang jawatan ini, Mahir Afendi disebut-sebut akan mendapat pencalonan saat akhir sebagai senjata untuk memastikan kemenangan Dato’ Haji Hamdi.

Sementara itu jawatan Naib Ketua Bahagian ditandingi oleh bekas Ketua Pemuda Bahagian, Azman Noh daripada kem Abdul Manaf dan akan ditentang oleh bekas Naib Ketua Pemuda Bahagian, Shukor Ismail dan bekas AJK Bahagian, Abdullah Sani.

Pemilihan UMNO Bahagian Beruas tahun ini diramalkan sengit berikutan pertembungan tiga kem besar yang mempunyai sejarah kesetiaan sokongan masing-masing. Kem-kem itu dikepalai oleh Dato’ Haji Hamdi (Ketua Bahagian), Mohd Ali Mansor (Ketua Pemuda Bahagian) dan Abdul Manaf Hashim (Naib Ketua Bahagian).

Walau bagaimana pun Dato Haji Hamdi dilihat memiliki kelebihan berikutan kejayaannya mengelakkan pertembungan dua team seperti yang diwarwarkan diperingkat awal. Dato’ Haji Hamdi diberitakan berjaya mendapat kompromi daripada Ketua Pemuda Bahagian, Mohd Ali Mansor yang pada awalnya berhasrat untuk bergabung dengan Naib Ketua Bahagian, Abdul Manaf Hashim.