Pengundian Ketua Kampung Panchor Ditangguhkan - Limau Purut Tiga Serangkai

Written By marhain jelata on 05 Julai 2008 | 3:05:00 PG

Pengundian bagi memilih ketua kampung Panchor yang dijadualkan hari ini, 5 Julai 2008, ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan. Notis penangguhan diserahkan oleh Penghulu Mukim Pengkalan Bharu kepada calon A (Pakatan Rakyat), Haji Khalid Awang pada pukul 6.00 petang semalam. Alasan penangguhan ialah wujud ancaman keselamatan berikutan bantahan berhubung status pengundi kaum Cina kawasan Bagan Panchor yang dikemukakan oleh penyokong calon B (UMNO).

Menurut Haji Khalid, penyokong calon UMNO menuntut supaya Pejabat Penghulu Mukim yang menguruskan pengundian agar menetapkan bahawa pengundi kaum Cina tidak dibenarkan mengundi. Tuntutan diasaskan kepada faktor bahawa kaum Cina tidak berhak terlibat dengan urusan kampung Panchor yang kononnya didiami oleh penduduk Melayu keseluruhannya. Menurut mereka, kaum Cina mempunyai ketua sendiri dari kalangan mereka untuk urusan hal ehwal komuniti mereka.

Walau bagaimana pun, Penghulu Mukim telah menjelaskan bahawa persempadanan kampung bagi maksud kelayakan mengundi telah ditetapkan sepertimana sempadan pentadbiran daerah yang digunapakai sejak dulu (sebelum kerajaan baru). Namun begitu, penjelasan yang diberikan tidak dapat diterima oleh penyokong-penyokong calon UMNO.

Mereka (penyokong UMNO) mengugut untuk mengambil tindakan kekerasan sekiranya didapati ada pengundi kaum Cina hadir ke pusat pengundian untuk tujuan mengundi.

Pihak pejabat Penghulu Mukim telah merujuk kepada Pejabat Daerah Manjung berkenaan ancaman yang berlaku dan telah dinasihatkan supaya mengambil keputusan menangguhkan pengundian ke satu tarikh yang akan diberitahu kemudian.

Beberapa pemimpin muda yang menyokong calon Pakatan Rakyat melahirkan rasa kesal dengan ugutan yang dilakukan oleh penyokong calon UMNO sambil menyifatkan alasan-alasan yang diberikan sebagai tidak menasabah dan out of law.

Bagi mereka, sempadan kampung dan sempadan daerah adalah perkara yang telah sedia termaktub dan sepatutnya tidak dipertikaikan lagi kerana ia telah ditetapkan oleh kerajaan BN/UMNO terdahulu sejak lama.

Selain itu mereka juga kesal kerana UMNO bertindak menafikan hak kaum Cina untuk mengundi sedangkan hak mereka telah ditentukan dengan jelas di dalam perlembagaan negara. Peraturan berhubung proses pengundian memilih ketua kampung yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri juga dengan jelas tidak menghadkan kelayakan mengundi kepada orang Melayu sahaja.

Tuntutan penyokong UMNO itu disifatkan sebagai buta undang-undang dan peraturan serta berbau perkauman yang sangat merbahaya. Veteran politik setempat menyifatkan tindakan penyokong-penyokong UMNO tersebut sebagai "Limau Purut Tiga Serangkai, Buta Perut Tak Dak Akai".

0 ulasan:

Catat Ulasan