PAS Beruas Mesti Berani Berubah

Written By marhain jelata on 01 Julai 2008 | 4:43:00 PG

PAS Beruas mesti berani berubah. Inilah rumusan daripada tinjauan pendapat di kalangan aktivis politik dan masyarakat dalam kawasan Parlimen Beruas.

PAS di kawasan ini masih dinilai sebagai parti yang tak bertenaga untuk menarik perhatian dan minat masyarakat. Penggerak PAS setempat tidak dipandang sebagai figure yang berwibawa untuk membangunkan masyarakat dalam pelbagai aspek. Inilah realiti penilaian masyarakat.

Orientasi minda majoriti orang Melayu masih lagi “benda”. Mereka menilai dan menghukum berdasarkan faktor “benda”. Mind-set ini telah disogokkan dengan sangat berkesan oleh budaya UMNO sejak zaman berzaman dan amat sukar untuk diruntuhkan.

Mau tak mau PAS mesti menerima realiti ini dan mengambil langkah mendekati mereka sesuai dengan jenis dan tahap pemikiran kebendaan itu. Penegasan ini bukan bermaksud kita perlu meleburkan tunjang perjuangan kita semata-mata untuk mengikut rentak tarian mereka. Prioriti ‘seruan tauhid’ sebagai asas utama tetap diinsafi namun pengolahan strategi berdasarkan realiti juga adalah sebahagian daripada sunnah dakwah.

Authority yang dipinjamkan oleh Allah untuk sementara waktu ini, perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Dakwah dalam konteks ilmu dan maklumat wajib dioptimumkan. Kebajikan dan lain-lain keperluan masyarakat wajib diambil perhatian secara serius sebagai sebuah kerajaan. Pembangunan ekonomi dan keusahawanan wajib digerakkan secara agresif melalui kesempatan kuasa yang ada. Mekanisme hisbah wajib didaulatkan dengan penuh komitmen supaya tertegak keadilan seperti yang dituntut oleh Quran dan Hadith.

Maklumat

Masyarakat Melayu Islam Beruas memang miskin maklumat. Kemiskinan itulah yang menyebabkan mereka masih setia mengundi BN. PAS Beruas wajib mengusahakan operasi perang ilmu dan maklumat ke seluruh pelosok dan ceruk kampung. Majlis ilmu wajib ada di setiap masjid, surau, dewan orang ramai dan lain-lain premis yang menasabah secara berjadual dan sistematik. Maudhu’ atau topik yang dikuliahkan mestilah diseragam dan diselaraskan secara professional seperti standard dakwah Rasulullah SAW. Satu jabatan khas wajar dibentuk bagi mengurus dan memantau perjalanan serta keberkesanan program ilmu ini, untuk menentukan penambahbaikan yang diperlukan.

PAS Beruas juga wajar menyalurkan maklumat bercetak kepada orang ramai. Ia boleh berbentuk bulletin, risalah khas atau surat. Individu sasaran maklumat bercetak ini mestilah jelas dan dirancang berdasarkan culaan. Menabur risalah tanpa diketahui siapa yang menerimanya, adalah pembaziran dan sia-sia.

Kita patut amalkan management by objective termasuk dalam hal penyaluran maklumat bercetak ini. Perancangan mesti mengambil kira hitungan secara matematik. Kawasan Parlimen Beruas merangkumi 27 gabungan kampung-kampung berketua kampung. 19 dalam Dun Pengkalan Bharu dan 8 dalam Dun Pantai Remis. Jika disasarkan 100 penerima bagi sebuah kampung maka jumlah naskhah cetakan ialah 2700. Nama-nama 100 penerima bagi setiap kampung itu wajib tersenarai dengan jelas berdasarkan sebab-sebab yang telah dianalisis oleh unit khas secara professional.

Mekanisme penilaian hasil penyaluran maklumat itu mesti diwujudkan. Penilaian ini amat mustahak untuk menentukan kesesuaian approach dan isu yang dimuatkan dalam bahan cetakan. Feed-back daripada individu sasaran mesti di nilai untuk menentukan langkah susulan yang terbaik.

Kebajikan Masyarakat

Kebajikan adalah isu besar. UMNO berjaya mempertahankan sokongan pengundi Melayu dengan isu ini. Melayu percaya bahawa UMNO telah terlalu banyak berjasa menjaga kebajikan mereka. Sejuta penyelewengan UMNO yang didedahkan oleh pelbagai pihak tak memberi bekas di hati pengundi. Mereka tetap sentimental terhutang budi kepada UMNO disebabkan beberapa pemberian kerajaan kepada mereka. Bantuan persekolahan, bantuan pendidikan tinggi, bantuan fakir miskin, bantuan buku teks, bantuan hari raya, bantuan baja, bantuan modal niaga, pinjaman TEKUN, pinjaman nelayan, pinjaman MARA dan puluhan skim lain telah meyakinkan Melayu bahawa UMNO memang prihatin terhadap kebajikan mereka sebagai rakyat.

Mereka tidak peduli tentang songlap korup kongkalikong berbilion ringgit yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO bangsa penyangak itu.

Sekarang kita memerintah negeri. PAS Beruas mesti memanfaatkan semua ruang dan peluang yang ada untuk faedah orang ramai khususnya Melayu. Organisasi parti wajib digerakkan supaya membina sistem pengkalan data yang lengkap. Bancian penduduk patut dibuat di setiap kampung untuk mendapatkan maklumat latar belakang yang terperinci.

Maklumat itu digunakan sebagai asas merangka pelan tindakan program kebajikan masyarakat. Fakir dibantu, miskin dibimbing, bijak disokong, bodoh diajar, jarak dihubung, banjir dibenteng, bocor ditampung, lemah dilindung, merempat diberi tempat.

PAS Beruas mesti menjalin hubungan mesra dengan semua jabatan dan agensi kerajaan negeri. Hubungan itu sangat mustahak untuk memudahkan urusan pembangunan masyarakat terutama hal ehwal kebajikan. Kunjungan resmi ke pejabat-pejabat yang berkenaan mesti dibuat. Ikatan resmi dalam bentuk jawatankuasa-jawatankuasa khas bersama jabatan dan agensi tersebut mesti diusahakan. Maklumat prosedur birokrasi serta piagam jabatan dan agensi tersebut hendaklah didokumenkan dengan sistem fail yang sempurna. Persediaan ini akan membantu kelancaran pentadbiran kampung-kampung khususnya dalam urusan kebajikan anak kampung. Pejabat JKKK patut menjadi pusat sumber bagi penduduk kampung untuk mendapatkan apa jua maklumat bagi memudahkan urusan mereka dengan kerajaan.

PAS Beruas wajar menyediakan pelan tindakan kebajikan masyarakat untuk digerakkan oleh setiap cawangan dengan kerjasama JKKK. PAS mesti sentiasa pro-aktif tentang keperluan orang ramai yang dimaklumi musimnya seperti musim mula bersekolah, musim menyiapkan keperluan perayaan hari besar, musim kemasukan ke IPT, musim banjir, musim sukan sekolah, musim program motivasi pelajar, musim berangkat menunaikan haji, musim kenduri perkahwinan dan lain-lain.

Banyak keprihatinan yang boleh ditunaikan menjelang atau pada musim-musim tersebut. Keprihatinan itu boleh terlaksana jika PAS Kawasan dan Cawangan telah bersedia dari peringkat awal dengan perancangan dan pelan tindakan yang jelas.

PAS Beruas mesti berani berubah daripada kelaziman menganjurkan aktiviti ritual dan ceremonial serta program yang berdiri di atas isu atau peristiwa semasa kepada aktiviti dan program yang benar-benar memberi impak terhadap keselesaan hidup masyarakat.

Antara fitrah manusia ialah berterima kasih dan lembut hati terhadap pihak yang membantu mereka menghadapi kesusahan atau menyelesaikan masalah.

Pembangunan Ekonomi Dan Keusahawanan

Politik moden ditunjangi oleh isu ekonomi. Majoriti manusia menilai kemampuan pemerintahan pada keupayaan meningkatkan ekonomi negara dan rakyat. Idealisme perjuangan parti sama ada berasaskan nilai agama atau lain-lain prinsip keadilan sejagat bukan faktor utama yang dipertimbangkan oleh majoriti rakyat (pengundi). Ini adalah realiti pemikiran politik rakyat terbanyak.

PAS di semua peringkat termasuk PAS Beruas perlu tampil di mata masyarakat sebagai parti yang dominan dalam usaha ekonomi dan pembangunan keusahawanan. UMNO akan hancur dan hilang jika PAS Beruas dapat berdiri sebagai pembimbing, pemudahcara, perunding dan mentor kepada orang ramai dalam urusan pembangunan ekonomi dan keusahawanan.

Keperluan berperanan bagi maksud ini bukanlah bermaksud PAS Beruas perlu menjadi sebuah entiti perniagaan. PAS tak perlu ada kilang atau syarikat besar yang menjalankan bisnes saiz korporat atau konglomerat. PAS tak perlu tunjukkan akaun parti yang berjumlah ratusan ribu atau jutaan ringgit.

Peranan yang akan mendapat markah tinggi di hati masyarakat ialah membuka laluan bagi mereka untuk menceburkan diri dalam aktiviti ekonomi dan keusahawanan. Setiap individu dalam masyarakat memiliki keupayaan dan kemahiran tersendiri berdasarkan persekitaran dan pengalaman masing-masing. Keupayaan dan kemahiran itu kebanyakannya terpendam justeru kekurangan maklumat, panduan dan bimbingan untuk dimajukan.

PAS Beruas perlu yakin diri dan smart. Individu-individu yang berlatarbelakang ekonomi mesti disatukan dan digerakkan untuk membentuk pasukan pembimbing masyarakat dalam hal memajukan diri di sektor ini.

Kawasan Beruas merupakan kawasan yang kaya dengan sumber untuk pembangunan ekonomi dan keusahawanan. Sepanjang sempadan barat kawasan Beruas ialah zon sektor perikanan laut yang sangat dikenali manakala kawasan tengah dan timur adalah zon pertanian yang subur dan sesuai untuk pelbagai jenis tanaman.

Jawatankuasa atau unit khas bagi tujuan ini patut mengkaji aktiviti keusahawanan yang boleh dibangunkan di kalangan masyarakat setempat. Kesempatan sebagai parti pemerintah sepatutnya dimanfaatkan secara maksimum. PAS Beruas wajar mempelopori pembentukan masyarakat usahawan yang kompetitif di kalangan semua golongan dalam masyarakat sama ada dewasa, belia, wanita, OKU dan lain-lain.

Pergantungan kepada hanya satu sumber pendapatan boleh dipecahkan jika dirancang dan dibimbing dengan betul. Kebanyakan keluarga nelayan, petani dan buruh di kawasan ini mempunyai sumber manusia dan sumber modal bukan wang yang masih belum dieksploitasi. Mereka mempunyai kawasan sekeliling rumah atau kawasan kebun yang masih tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Mereka juga mempunyai isteri dan anak-anak yang masih ada kesempatan masa untuk melakukan sesuatu aktiviti tetapi tiada idea untuk melangkah.

PAS Beruas harus meneroka peluang keusahawanan yang sesuai dan berpotensi untuk diceburi oleh masyarakat. Pemerhatian kasar menunjukkan bahawa banyak projek kecil dan sederhana serta cottage industry (penghasilan produk di rumah) yang sesuai untuk dimajukan dikalangan masyarakat petani, nelayan dan buruh di kawasan ini. Contoh aktiviti ekonomi yang boleh dimajukan ialah akuakultur (saiz kecil), pertanian fertigasi, tanaman sayur-sayuran, pemerosesan produk berasaskan hasil laut, servis berkaitan hobi dan pelancongan, pemerosesan hasil pertanian, produk jahitan dan produk kraftangan.

PAS Beruas mesti berani berubah daripada jatidiri dan mentaliti pembangkang kepada realiti pemerintah dan pemandu masyarakat.

0 ulasan:

Catat Ulasan