Kisah Silam PAS Beruas - Pejuang Kecil Yang Berjiwa Besar

Written By marhain jelata on 20 Mac 2012 | 8:52:00 PTG

Catatan ini dimuatkan dalam blog Jeritan Minda Politik Malaysia pada 9 April 2009.

Sambil meng'edit' catitan, laporan dan foto PRK059 aku teringat politik aku lebih 30 tahun dulu. Waktu itu kampung aku belum ada bekalan elektrik. Nak tengok TV yang guna bateri kereta, kena beratur di pintu rumah cikgu Ramli. Bayar sekupang baru boleh masuk menonton. Dua tiga minggu sekali mak aku bagi izin tengok TV. Aku masih di sekolah rendah yang tak ada bekalan elektrik. Mandi air telaga bawah gon belakang rumah. Hampir waktu maghrib cucuh pelita katak atau pelita cempeni guna minyak tanah. Hidung gerenti berjelaga.

Di kampung aku ada dua tiga belas orang PAS termasuk aku yang belum bersunat. Semua pejuang-pejuang itu dah lama meninggalkan aku nun jauh di alam baqa'. Waktu itu, seminggu sekali pejuang-pejuang itu adakan usrah dari rumah ke rumah. Usrah zaman itu lebih kurang macam kuliah zaman ini. Kadang-kadang macam ceramah kelompok. Aku jadi pekerja tetap menghidang kopi dan santapan ringan. Tiap-tiap minggu bertahun-tahun. Seingat aku, masa aku di asrama sekolah menengah malah ketika aku dah di universiti, usrah dari rumah ke rumah itu masih berjalan.

Hari ini ahli PAS di kampung aku jumlahnya 311 orang. Kalau dicampur dengan penyokong yang tak daftar keahlian, jumlah kasarnya melebihi 500 orang. Kampung-kampung berdekatan agak slow sikit perkembangannya. Tapi banyak kampung yang asalnya tak ada ahli PAS, empat lima tahun kemudian dah boleh tubuh cawangan. Makin lama makin banyak cawangan.

PAS dah bertanding di tempat aku dalam pilihanraya umum sebelum aku reti baca abc lagi. Yang ada dalam ingatan aku hanya bermula pada PRU 6 tahun 1978. PAS bertanding kerusi DUN dan Parlimen. Aku yang masih kemetot bersama dua tiga orang kawan sebaya dilantik jadi petugas menampal poster. Masak tepung ubi kayu buat gam. Cabut empulur sabut nyior jadikan berus. Berjalan malam dalam gelap tampal poster di merata batang pokok nyior. Kena jerkah dengan UMNO tua. Keputusannya PAS hilang deposit. Dapat beberapa ratus undi sahaja.

Waktu itu kenderaan semua pejuang kampung aku hanyalah basikal. Dengan kenderaan itulah mereka bergerak dalam lingkungan 20-30 km radius. Aku jadi pembonceng setia. Nak mesyuarat jauh sikit kena naik bas. Surat menyurat semua dengan tulisan tangan. Kadang-kadang pinjam mesin taip Pak Mat Pistol. Usrah terus berjalan. Ahli terus bertambah. PAS terus kalah dalam PRU 7 (1982), 8 (1986), 9 (1990), 10 (1995) dan 11 (2004). Dalam PRU12 tahun lalu (2008) PAS masih kalah tapi majoriti tinggal 14 undi sahaja. Aku tersandar di tepi longkang depan pusat penjumlahan undi kerana angka 14 itu. Majoriti paling kecil dalam Malaysia. Mudah-mudahan ketika PRU13 nanti atau pilihanraya negeri selepas DUN bubar tak lama lagi, PAS diberi kemenangan sulung di tempat aku. Kalau aku masih bernafas di saat kemenangan itu, mungkin akulah manusia paling gembira dalam dunia.

Tribute to all pejuang-pejuang kecil kampung aku. Aku yakin mereka kini aman disisi Allah dengan rezki yang dijanjikanNya. Pak Teh Jaafar, Pak Mat Pistol, Cikgu Johor, Pak Lang Dod, Cikgu Haris, Pak Teh Che' Amat dan Tok Lebai Lah masih segar dalam ingatan aku. Aku peluk cium jenazah Ayah Da Ustaz Saad dua tahun yang lalu. Ayah Da adalah setiausaha pertama PAS ranting kampung aku pada penghujung tahun 50an sebaris usia penubuhan PAS sendiri. Ayah Da kekal istiqamah dari zaman jalan kaki hingga zaman kapal terbang membawa ke hembusan nafas terakhirnya. Aku dapat rasakan kesyahidannya ketika memandang wajahnya dan mencium dahinya yang dah jadi jenazah. Takbir!

Begitu juga pejuang kecil dari dalam rumah aku. Bagi aku dia pejuang besar kerana aku terlalu mengenali jiwanya sejak aku masih kecil. Ketika PRU 1978 dan 1982, pejuang kecil ini keluar rumah waktu aku belum bangun dari tidur, dan pulang ke rumah waktu aku telah pun tidur. Kadang-kadang tak balik dua tiga hari malah pernah sampai seminggu kerana menunaikan tanggungjawab perjuangan.

Ketika uzur lewat usia pertengahan enam puluhan, pejuang kecil ini masih bergelut dengan agenda pendidikannya disamping membimbing arah tuju pejuang-pejuang baru. Dua hari sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, semangat pejuang kecil ini masih berkobar-kobar. Aku dipanggil bermesyuarat dua orang. Aku dan dia sahaja. Mengemaskini blueprint pusat tarbiyyah yang mula dibangunkannya tiga tahun sebelum itu. Pukul tujuh petang, tujuh jam sebelum ajal, di pertemuan terakhir dua insan, aku dan dia, perkataannya masih soal perjuangan. Pesanannya masih tentang jamaah dan dakwah sedangkan matanya sudah jauh merenung kehidupan abadi yang bakal bermula sebentar lagi. Pejuang kecil berangkat ke Kuala Lumpur untuk hadir menyaksikan anak bongsu menerima ijazah di UIA. Sebaik kenderaan yang membawa pejuang kecil hilang dari pandangan aku, hati aku dah bersedia menerima dia pergi untuk selama-lamanya. Lidah dan mulut aku bercerita kepada kawan-kawan dan sanak saudara bahawa nampaknya macam pejuang kecil dah siap berangkat pergi bukan hanya ke Kuala Lumpur tapi ke destinasi kekasihnya yang abadi. Pukul 2 pagi, malaikat datang menjemputnya. Bila telefon berdering pukul 5 pagi, air mata aku dah berderai sebelum sempat mengangkat gagang. Duhai pejuang! aku dapat merasakanya sejak petang tadi. Selamat berkelana!

Aku memandikan jenazah yang kuning berpeluh itu dengan rayuan dulu kini dan selama-lamanya ... Ya Allah tempatkanlah roh si mati ini bersama syuhada' dan solehin.

Engkau tidak mati wahai pejuang kecil! Disisi Allah rezkimu melimpah ruah. Aku datang ke dunia ini melalui tulang sulbimu duhai ayahanda. Aku bangga jadi anakandamu!

klik di sini untuk baca Nostalgia PAS Beruas

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Al- Fatihah Kepada "PEJUANG KECIL"....

"Ya ALLAH jadikanlah "ISTIQAMAH" perjuangan sebagai semangat kepada kami dlm perjuangan ini. Ya ALLAH kau tempatkanlah "PEJUANG KECIL" ini sebaris dengan syuhada mu Ya ALLAH.

Amin ya Rabbi

Tanpa Nama berkata...

Al- Fatihah Kepada "PEJUANG KECIL"....

"Ya ALLAH jadikanlah "ISTIQAMAH" perjuangannya sebagai semangat kepada kami dlm perjuangan ini. Ya ALLAH kau tempatkanlah "PEJUANG KECIL" ini sebaris dengan syuhada mu Ya ALLAH.

Amin ya Rabbi

Catat Ulasan