Umno Kata PAS Kata Undi PAS Masuk Syurga - Subky Latif

Written By marhain jelata on 03 April 2012 | 12:40:00 PTG

Sejak lebih 30 tahun apabila kerajaan dan pimpinan Umno dianggap rasuah, pemimpin Umno tidak menafikannya tetapi mengalihkan anggapan itu dengan berkata, rasuah paling teruk ialah parti politik yang menjanjikan syurga kepada pengundi yang mengundinya.

Ia diulang-ulang hingga hari ini oleh penyokong-penyokong Umno.

Dengan berkata begitu, Umno tidak kata ia tidak rasuah, tetapi menyindir ada yang lebih rasuah iaitu parti yang dikatakannya menjanjikan syurga kepada penyokongnya dan sesiapa yang mengundinya.

Tentulah yang disindirnya itu PAS kerana di negara ini PAS saja yang bercakap tentang pahala dan dosa dalam politik.

Politik itu ada jenayahnya. Hosni Mubarak dan Gaddafi adalah orang yang dituduh melakukan jenayah politik, tetapi tidak ada orang mengatakan politik mereka itu berdosa. Kalau pun dikata berdosa dan derhaka, mereka berdosa kepada rakyat dan derhaka kepada negara.

Tiada yang mengatakan mereka berdosa kepada Allah dan derhaka kepada Allah. Tetapi pemimpin PAS Tok Guru Nik Aziz berkata, politik seperti itu tidak sekadar berdosa kepada rakyat dan negara tetapi berdosa juga kepada Allah.

Chua Jui Meng, ketua PKR Johor berkata dalam Wacana Sinar, “PAS kata, rasuah berdosa.” Berdosa itu adalah pada sisi Allah.

Orang yang berdosa masuk neraka kecuali taubatnya diterima.

Rasuah itu adalah kejadian yang boleh berlaku dalam politik. Politik macam itu berdosa. Banyak lagi perbuatan poliltik yang berdosa.

Politik yang boleh berdosa itu adalah politik itu tidak dijadikan ibadat. Orang Islam mesti menjadikan politiknya sebagai ibadat. Ketika memula solat dia berikrar dalam doa Iftitah bahawa solatku, ibadatku, hidupku dan matiku kerana Tuhan semesta alam.

Maksud hidupku ialah segala kegiatan selepas lahir hinggalah mati. Antara kegiatan hidup itu ialah sekolah, kerja, kahwin, berniaga dan berpolitik. Maka mestilah politiknya politik ibadat.

Oleh kerana politik PAS itu politik Islam, maka politiknya adalah ibadat. Apa jua kegiatan politiknya jika diterima Allah sebagai amal soleh secaya mendapat pahala. Dengan pahala itulah semua masuk syurga.

Pahala itu bukan PAS yang menjanjikannya dan bukan PAS yang memberinya. Allah yang menjanjikan pahala dan syurga bagi yang beramal soleh. Apabila pilihanraya, mengundi dan kempen menjadi ibadat, maka terhindarlah ia dari maksiat, menipu undi, membeli undi, undi hantu dan sebagainya.

Tapi kalau niat tidak betul mengundi calon parti Islam pun tidak dapat pahala seperti banyak orang solat masuk neraka kerana solatnya lagho. Solat itu adalah jalan ke syurga, tetapi kalau solatnya lagho, dia tidak dapat pahala.

Demikian juga politik. Politik yang menjadi jalan ke syurga ialah politik yang diredha Allah. Politik yang diredhai itu ialah yang menjadikan politik itu ibadat. Barang siapa yang berada dalam politik ibadat itu dapatlah dia pahala.

PAS tidak memandai-mandai menjanjikan syurga kepada sesiapa, tetapi PAS sampaikan apa suruh sampaikan melalui al-Quran dan Sunnah NabiNya. Neraka dan syurga itu Allah yang punya. Dia saja yang menentukan siapa masuk syurga dan siapa masuk neraka.

Apa yang dikatakanNya boleh masuk syurga, itu yang PAS kata. Dan apa pula yang menyebabkan masuk neraka, maka itulah PAS kata. Allah saja yang berhak berkata begitu dan menjanjikan begitu. PAS adalah sebagai pendakwah menyampaikan apa yang Allah janji.

Maka apa yang PAS sampaikan itulah dikatakan oleh Umno, PAS menjanjikan rasuah syurga kepada penyokongnya dan sekalian yang mengundinya. PAS tidak mendakwa begitu. Umno yang kata PAS kata begitu.

Sejak lebih 30 tahun dulu tak habis-habis Umno kata, PAS kata undi PAS masuk syurga.

sumber : The Malaysian Insider

0 ulasan:

Catat Ulasan