Pilihanraya Ketua Kg. Panchor Masih Tertangguh

Written By marhain jelata on 25 Julai 2008 | 4:10:00 PTG

Pilihanraya memilih ketua kampong Panchor masih tidak dapat diadakan berikutan tiada penyelesaian berhubung status pengundi kaum China Bagan Panchor yang dibangkitkan oleh calon UMNO, Ahmad bin Wanchik.

Pengundian itu telah dijadualkan pada 5 Julai selepas penamaan calon pada 25 dan 26 Jun lalu. Pejabat Penghulu Mukim Pengkalan Bharu telah mengeluarkan notis penangguhan pada 4 Julai berikutan bantahan penyokong calon UMNO mengenai status pengundi kaum China tersebut.

Mesyuarat khas melibatkan kedua-dua calon dan lima penyokong masing-masing telah diadakan pada hari Selasa 22 Julai yang lalu tetapi masih gagal mencapai kata sepakat.

UMNO mendesak supaya kaum China yang tinggal di Bagan Panchor tidak dibenarkan mengundi dengan alas an mereka tiada kena mengena dengan hak memilih ketua kampong Panchor yang didiami oleh orang Melayu sahaja.

Pejabat Penghulu Mukim Pengkalan Bharu menjelaskan bahawa persempadanan kampong adalah mengikut pemetaan yang disediakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Manjung berkaitan pentadbiran mukim dan kampong. Persempadanan itu telah digunapakai sejak puluhan tahun yang lalu di bawah pemerintahan kerajaan negeri Barisan Nasional.

PAS Kawasan Beruas dan PAS Cawangan Panchor kesal dengan tindakan calon UMNO tersebut kerana menafikan hak kaum China. Yang DiPertua PAS Kawasan Beruas meminta pihak Pejabat Daerah dan Tanah Manjung agar segera menyelesaikan masalah berbangkit dan mengadakan pilihanraya secepat mungkin.