Cadangan Untuk PAS Perak – Mantapkan Komunikasi Dan Segerakan Pembuktian Gagasan Pemerintahan Berkebajikan

Written By marhain jelata on 13 Julai 2008 | 4:45:00 PTG

Tempoh 100 hari telah berlalu. Rakyat akur bersabar menunggu selesai tempoh itu. Rakyat faham tentang keperluan tempoh bertenang untuk memeriksa dan menyusun semula dokumen, struktur, piagam dan dasar pemerintahan yang baru. Rakyat berlapang dada memberi laluan kepada perakuan Pakatan Rakyat negeri Perak untuk menunaikan janji manifesto pilihanraya sebaik selesai tempoh 100 hari keramat itu.

Tempoh 100 hari telah berlalu. Rakyat mengakui bahawa kerajaan baru negeri Perak telah melakukan beberapa pembaharuan yang baik, antaranya :

1. Pengumuman langkah memberikan geran hak milik tanah kepada penduduk kampung baru (majoriti kaum Tionghua) dan kampung tradisional Melayu yang telah lama menduduki tanah kerajaan.

2. Bantuan awal kepada golongan miskin tegar bernilai RM200 untuk satu keluarga melibatkan peruntukan RM 1 juta.

3. Pelaksanaan kaedah pemilihan ketua kampung secara pengundian oleh warga kampung.

4. Penstrukturan semula agihan kerusi Ahli Majlis Daerah/Perbandaran dengan memperuntukkan 1/3 bilangan kerusi kepada profesional dan NGO yang bukan mewakili parti politik.

5. Bantuan RM1000 kepada anak Perak yang mendapat tawaran pengajian di IPTA.

6. Pemberian 20 cubic meter air percuma (L.A.P) kepada 15000 keluarga berpendapatan RM750 ke bawah melibatkan perbelanjaan hampir RM 2 juta sebulan.

7. Kenaikan elaun guru KAFA.

8. Pengumuman dasar profesionalisme pentadbiran jabatan kerajaan tanpa tekanan dan campurtangan melampau ahli politik.

9. Pelaksanaan dasar kerajaan mesra pelanggan dan pemimpin mesra rakyat melalui langkah mengurangkan kerenah birokrasi dan protokol ala feudal.

Mungkin ada beberapa perkara lagi selain daripada yang dinyatakan di atas. Itulah bukti kesungguhan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak untuk melakukan pembaharuan demi kebajikan rakyat.

Rakyat mengakui pembaharuan yang berlaku. Rakyat mengiktiraf kewajaran pelaksanaan dasar, polisi dan langkah yang telah dilakukan itu. Syabas dan tahniah!

Di sebalik pencapaian itu, secara jujur harus diakui bahawa Kerajaan Negeri Perak dilihat sangat lambat bahkan ramai rakyat menyifatkannya sebagai lembab dan seolah-olah kehilangan fokus.

Rakyat akur bahawa bukan semua perkara boleh dilakukan serentak dalam satu masa. Rakyat sedar bahawa misi dan visi besar Pakatan Rakyat memerlukan satu tempoh yang menasabah untuk terlaksana dan tercapai. Rakyat faham bahawa penunaian janji itu perlu berlaku secara berperingkat, satu demi satu atau sedikit demi sedikit. Rakyat sangat faham.

Namun begitu, rakyat yang mendukung perjuangan PAS, PKR dan DAP sejak sekian lama terutama ketika mengusahakan kemenangan pada PR12 yang lalu, sedang terkulat-kulat menunggu dan menanti komitmen yang lebih bermakna dan lebih terserlah daripada kerajaan Perak yang dijulang dan disokong.

Setakat ini, penggerak parti-parti Pakatan Rakyat di gelanggang politik sebenar iaitu di kampung dan pekan kecil, masih tidak menerima hitam-putih yang jelas tentang reform yang telah bermula atau yang sedang digerakkan oleh kerajaan negeri. 9 perkara yang tersenarai di awal tulisan ini belum memadai. Rakyat era maklumat adalah rakyat yang penuh kemampuan untuk menganalisis dan membuat penilaian.

Pemimpin-pemimpin PAS di peringkat kawasan parlimen dan kawasan DUN sedang bergelut dengan serangan hujjah bertubi-tubi oleh pencatur politik sebenar iaitu pengundi-pengundi. 9 perkara itu terlalu sedikit untuk dijual kepada telinga dan pemikiran ratusan ribu pengundi di sekeliling kita.

Wibawa Pakatan Rakyat bukan terletak hanya pada penampilan dan gaya pemimpin-pemimpin kerajaan. Rakyat kurang peduli tentang isu hubungan intim pemimpin kerajaan negeri dengan istana. Rakyat tak mau bersusah-payah mengambil tahu tentang peralihan 16 September. Rakyat tak bernafsu nak menyelidik benar atau tidak Shaiful Bahri diliwat. Rakyat tak ambil pusing tentang kehidupan peribadi pemimpin-pemimpin kerajaan PR Perak yang diwar-warkan sebagai low-profile, mesra, mudah diajak berbincang dan macam-macam lagi.

Rakyat sedang menunggu produk kerajaan negeri yang memberikan kesan langsung kepada kualiti dan taraf hidup mereka. Rakyat sedang menanti solusi berkesan yang patut dicetuskan oleh kerajaan untuk membantu mereka meningkatkan taraf hidup dalam era inflasi yang perit ini.

Rakyat tak teringin mendengar makluman tentang wacana itu dan ini di hotel sana dan sini melibatkan tokoh atau professional mana sekalipun. Rakyat tak teruja dengan program ceramah atau forum anjuran PAS, PKR dan DAP di dewan, padang dan stadium yang mendapat sambutan baik akhir-akhir ini. Rakyat tak heran dengan berita 50000 borang permohonan menjadi ahli PAS habis dalam masa yang singkat.

Isu utama rakyat ialah keselesaan hidup. Realiti ini wajib diinsafi oleh semua pihak terutamanya pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat. Sama ada wajar atau tidak wajar rakyat mengutamakan isu taraf hidup, itu bukan soalnya. Soalnya ialah hampir semua rakyat mendambakan keselesaan hidup yang lebih baik. Rakyat mengharapkan progress yang lebih pantas dalam isu pembelaan nasib mereka.

Pemimpin parti politik patut insaf bahawa mereka tidak mampu menentukan sepenuhnya bagaimana rakyat harus berfikir. Pemimpin PAS, PKR dan DAP tidak wajar menghukumkan supaya rakyat mengikut kehendak pemimpin semata-mata. Pemimpin diangkat ke kerusi itu oleh rakyat. Walau pun tugas pemimpin ialah sebagai pemandu bagi kenderaan yang dinaiki oleh rakyat, namun rakyat berhak menetapkan syarat kepada pemandu supaya memastikan perjalanan itu sampai ke destinasi yang dipersetujui bersama.

Kalau pemandu cuai ketika memandu, penumpang akan bertindak memaksa pemandu supaya berhenti. Rakyat akan turun dari kenderaan ini dan mencari kenderaan lain.

Rakyat sedang menilai dengan penuh teliti dan kritis. Keseriusan itu tergambar daripada soalan-soalan dan perli-sindir yang sentiasa berkumandang di forum mega rakyat di merata rumah, masjid, kedai dan di mana saja. Pemimpin PAS, PKR dan DAP peringkat negeri perlu merakyatkan pemikiran dan fokus mereka. Mereka selayaknya sangat maklum tentang prioriti projek atau program yang mahu dilaksanakan.

Penyokong PR khususnya ahli-ahli PAS masih ingat segala hujjah pemimpin dan penceramah PAS tentang good governance serta keutamaan meningkatkan taraf hidup rakyat terbanyak yang sentiasa dikumandangkan di pentas ceramah sepanjang zaman.

Sekarang PAS, PKR dan DAP mesti membuktikan ideal yang diwarwarkan sekian lama. Tanggungjawab itu terpikul ke atas bahu pemimpin ketiga-tiga parti. Anggota parti di peringkat bawah tetap setia menjalankan tugas dan berperanan untuk menjayakan cita-cita rakyat.

Masalah sekarang ialah rakyat belum nampak langkah yang bergaya oleh kerajaan negeri. Janganlah 9 perkara (di awal tulisan ini) itu dipertahankan sangat sebagai bukti tentang tindakan dan berperanannya kerajaan. Pemimpin PAS, PKR dan DAP mesti sedar bahawa rakyat bukan buta pengetahuan dan buta maklumat.

Satu kelemahan nyata kerajaan negeri Perak dan parti-parti kerajaan ialah komunikasi. Rakyat tak dapat maklumat yang jelas dan sahih tentang langkah dan tindakan kerajaan. Rakyat tidak diberi makluman yang tepat tentang tawaran atau peluang yang dikemukakan oleh kerajaan. Rakyat tidak diberikan penjelasan tentang isu-isu yang berbangkit sama ada dibangkitkan oleh musuh politik atau dipersoalkan oleh bukan kelompok politik.

Komunikasi PAS Perak dengan organisasi parti peringkat kawasan Parlimen dan DUN masih pada tahap kualiti tahun 60an. Organisasi dan anggota PAS peringkat bawah sentiasa mendapat berita tentang sesuatu perkara daripada pihak lain.

Isu pemberian hak milik tanah, butiran bantuan miskin tegar, makluman tawaran biasiswa/pinjaman pelajar IPT, isu keanggotaan ahli Majlis Daerah/Perbandaran, isu jawatankuasa qariah, kemudahan bantuan kerajaan untuk institusi pendidikan dan banyak isu lain hanya diketahui melalui tv, radio dan akhbar yang boleh diragui ketepatan maklumatnya.

Kenapa butiran lengkap hal-hal itu tidak disalurkan kepada PAS peringkat kawasan dan cawangan secara resmi? Apakah PAS Perak terlalu daif dan tak mampu nak bangunkan laman web untuk memuatkan penjelasan tentang isu-isu berbangkit dan memaklumkan langkah serta tawaran resmi kerajaan?

Terkini, tv dan akhbar harian memaparkan keluhan pelajar IPT yang datang ke pejabat exco Pelajaran (YB Nga Kor Ming) tetapi disuruh pulang oleh kakitangan pejabat. Ramai rakyat dimaklumkan bahawa kerajaan dah umumkan bantuan RM1000 kepada anak Perak yang dapat memasuki IPTA. Kebanyakan rakyat memahami bahawa ia adalah bantuan segera. Itulah yang beredar dari mulut A ke telinga B, dari mulut B ke telinga C dan seterusnya.

Tak mampukah pemimpin-pemimpin parti Pakatan Rakyat yang profesional belaka itu menyediakan notis bertulis tentang tawaran tersebut? Tak mampukah PAS Perak yang mantap itu mengemailkan notis tersebut kepada PAS kawasan-kawasan supaya dihebahkan kepada rakyat dengan butiran yang jelas dan terperinci? Tak mampukah pejabat SUK atau Pejabat Exco Pelajaran menghantar notis tersebut melalui faksimili ke pejabat-pejabat Penghulu Mukim untuk dimaklumkan ke kampung-kampung?

0 ulasan:

Catat Ulasan