Pasrah, ceria, meyakinkan dan bertenaga. Inilah yang dapat digambarkan tentang suasana dan hasil program PAS Kawasan bersama YAB Dato' Seri MB di kediaman resminya malam tadi. Hampir seribu pemimpin PAS Kawasan yang hadir nyata lega dan membara keazaman setelah mendengar tazkirah AlFadhil Ustaz Tarmizi Abdul Rahman, ucapan AlFadhil Ustaz Ahmad Awang dan taklimat YAB Dato' Seri Hj. Mohd Nizar.
Mudah-mudahan hilanglah segala kebimbangan dan terlerailah kekalutan lompong maklumat tentang isu-isu yang telah muncul sepanjang hampir dua bulan PR membentuk kerajaan. Semua pihak harus berjiwa besar dan 'be real' dengan persekitaran politik unik negeri Perak. Kerajaan campuran dominasi DAP dan dominasi kaum Tionghua dari segi bilangan kerusi tetapi ber'MB'kan ADUN PAS.
Cabaran politiking tak bermoral UMNO-BN, pendirian veteran DAP Pusat, kebijaksanaan DYMM Paduka Seri Sultan dan Raja Muda, realiti kejutan berhubung 'ketuanan', MB pelbagai bahasa serta beberapa isu lain telah melengkapkan rencam-indah perjalanan kerajaan negeri yang paling mendapat perhatian dunia ini.
Jawatan Adalah Amanah Dan Nadamah
Tazkirah Ustaz Tarmizi Abdul Rahman mengingatkan semua amilin PAS supaya tidak terpedaya dengan peluang dan kesempatan yang terbentang di depan mata selepas kejayaan ini. Jangan meminta jawatan kerana ianya adalah amanah yang akan dipertanggungjawabkab di mahkamah akhirat dan nadamah (penyesalan) bagi pemikulnya yang tidak credible. Hubbul-jah iaitu cinta pangkat atau kedudukan merupakan maudhu' yang diperingatkan secara serius di dalam Al-Quran dan Hadith serta dibahas secara panjang lebar di dalam kitab-kitab akhlak dan tasawwuf. Hubbul-jah menjahanamkan organisasi dan institusi, merencat potensi, mengekang kreativiti, menjauhkan rahmat, mengundang bala' dan memporak-perandakan ukhuwwah. Pemimpin dan ahli PAS wajib sentiasa memuhasabah diri dan memohon keampunan dan hidayah agar langkah tidak sumbang dan tempang.
Tiada sebarang kebaikan daripada kedudukan pangkat yang dicapai oleh seseorang melainkan jika dia melaksanakan segala tanggungjawab yang berhubung dengan kedudukan itu dalam keadaan penuh keikhlasan. Al-mukhlis sebagai pemimpin ialah manusia yang tidak pernah mengidamkan pangkat itu dan tidak langsung berusaha mendapatkannya.
Cabaran Proses Membentuk Kerajaan
Pengkisahan kronologi dari saat malam keputusan pilihanraya sehingga isu Pengarah JAIP yang ditaklimatkan oleh YAB Dato' Seri Menteri Besar benar-benar menginsafkan. Syabas kepada Dato' Seri dan semua YB Adun Pakatan Rakyat justeru upaya menahan diri daripada tawaran berjuta RM yang mungkin menggagalkan hasrat pembentukan kerajaan baru bukan BN. Tahniah juga kerana dapat meleraikan semua kekusutan yang menjelma sepanjang langkah menyetujui pembentukan kerajaan campuran tiga parti sebagai satu-satunya kerajaan Pakatan Rakyat yang sebenar di antara lima negeri bukan BN.
Pengalaman ini memberikan harapan yang penuh makna kepada cita-cita pembentukan kerajaan persekutuan Pakatan Rakyat di masa mendatang. Berkongsi persamaan dalam perbezaan! Mudah-mudahan organisasi ketiga-tiga parti di peringkat kawasan Parlimen dan DUN akan bersungguh-sungguh mengeratkan kerjasama politik dan organisasi demi kebaikan dan hasrat murni semua pihak.
Bersama Membangun Dan Memakmurkan Darul Ridzuan
Insyaallah tempoh 100 hari semakin hampir. Peringkat menyempurnakan perolehan maklumat daripada semua jabatan dan agensi kerajaan akan selesai. Selepas itu kita akan terus melangkah untuk menunaikan tanggungjawab mengurus-tadbir negeri ini sebagaimana yang kita janjikan kepada semua pengundi sejak sekian lama. Al-'adlu wal ihsan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan