Jatidiri Utama Seorang Mujahid
Mujahid di medan da'wah adalah seorang yang mempunyai darjah kefahaman yang tinggi tentang agamanya. Kefahaman yang syumul dan murni tentang Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah. Seorang mujahid wajib mempunyai darjah keikhlasan yang tinggi supaya dia manjadi tentera da'wah, tentera aqidah dan tentera fikrah - bukan tentera yang hanya mengejar manfaat atau mengejar matlamat kebendaan dan bukan tentera yang mengejar kepentingan diri sendiri. Seorang mujahid sentiasa mengutamakan kerja - bukan kata-kata. Apa yang dikata, itulah yang dikota. Seorang mujahid membulatkan penyerahan dirinya untuk da'wah Islam dan membebaskan dirinya daripada segala prinsip yang lain dari Islam. Dia juga sentiasa membebaskan dirinya daripada prinsip manusia yang tidak menyetujui da'wah Islam. Kemuncaknya, seorang mujahid sentiasa mempersiapkan dirinya untuk berjihad ke jalan Allah dengan mengorbankan segala yang mulia dan mahal termasuk harta, jiwa, waktu dan kesenangan.
"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang beriman - diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka". At-Taubah 111.
Seorang Mujahid akan terus berjihad dan berda'wah di jalan Allah walau bagaimana panjangnya masa perjuangan itu hingga dia menemui Tuhannya dalam perjalanan jihad itu dengan mencapai salah satu daripada dua kebaikan "imma an-nasru wa imma asy-syahadah" - menang atau syahid.
"Di kalangan orang beriman itu, ada yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur (syahid) dan ada yang masih menunggu (giliran mereka), dan mereka tidak sekali-kali merobah janji yang telah dimeterai (dengan Allah)." Al-Ahzab 123.
Pejuang Aqidah dan tentera da'wah dituntut supaya melatih diri dan beriltizam melaksanakan gerak kerja jamaah sama ada di waktu senang atau susah dan waktu suka atau benci kerana da'wah itu adalah jihad yang tidak boleh berhenti dan tidak boleh dielakkan. Da'wah dan jihad adalah perjuangan yang terus menerus tanpa henti. Segala ujian dan dugaan yang hebat lagi dahsyat tidak akan mampu dihadapi kecuali oleh mujahid yang tulen.
Jaminan kemenangan adalah pada taat setia dan persaudaraan yang sebenar dan berdiri di atas asas cinta kasih sayang di antara seorang muslim mujahid dengan muslim mujahid yang lain. Sekurang-kurangnya darjah persaudaraan itu ialah terpelihara hati dari bersangka buruk terhadap saudara muslim yang lain. Setinggi-yinggi darjah persaudaraan itu ialah mengutamakan saudaranya yang muslim lebih daripada kepentingan dirinya sendiri.
Ramai yang pandai berkata-kata tetapi tidak mampu menjadi petugas - ramai petugas tetapi bukan mujahid - ramai yang berjihad tetapi bukan mujahid yang bijaksana.
Kata Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna: "Sesungguhnya ramai yang mampu berkata-kata tetapi sedikit daripada mereka yang mampu bertahan dalam melaksanakan gerak kerja. Di kalangan yang mampu bertahan melaksanakan gerak kerja itu, sedikit sahaja yang mampu memikul bebanan jihad yang sukar dan berat. Mujahid sebenar ialah angkatan terpilih yang sedikit bilangannya namun merekalah penolong sebenar kepada agama Allah yang disebut di dalam Al-Quran sebagai ansorullah."
Oleh itu persiapkanlah diri menghadapi perjuangan ini dengan tarbiyyah yang sahih, hisablah diri dengan teliti, latihlah diri dengan amal-amal yang berat - yang kurang disukai dan susah dilaksanakan. Latihlah diri menjauhi syahwat dan menjauhi adat-adat kebiasaan.
Sunnah Da'wah
Setelah melalui peringkat-peringkat persediaan dan tarbiyyah mengikut kemampuan masing-masing sama ada individu atau jamaah, kita masih merupakan batu bata yang mentah dan belum boleh digunakan untuk membina bangunan. Kita akan melalui perjalanan da'wah mengikut sunnatuLlah dengan segala ibtila', ujian dan bencana untuk membersihkan di antara yang tulin dan yang palsu, di antara yang benar dan dusta pada kesungguhannya, di antara emas dan tembaga - supaya mujahid beriman akan bertambah imannya.
"Adakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan berkata; 'kami telah beriman' sedangkan mereka belum diuji. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang sebelum mereka supaya nyatalah siapa yang benar dan siapa yang berbohong". Al-'Ankabut 2 & 3.
"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan dimasukkan ke dalam syurga, sedangkan belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana yang telah ditimpakan kepada orang sebelummu. Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam dugaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang beriman yang bersamanya; 'bilakah akan datang pertolongan Allah?', ingatlah bahawa sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat." Al-Baqarah 214.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan