Apa Sudahnya Isu Dewan Orang Ramai?

Written By marhain jelata on 03 Disember 2008 | 4:08:00 PG

"UMNO parti orang bodoh dan jahat". "Kalau tak bodoh dan tak jahat, tak layak masuk UMNO!". Begitu ungkapan seorang penceramah 'top' satu masa dulu. Ketika mendengar ucapan itu terasa macam penceramah itu keterlaluan. Terlalu kasar. Tak kan lah sampai begitu kita nak labelkan orang UMNO. Memanglah ada asas untuk kita simpulkan begitu, tapi tak perlulah kita isytiharkan dan ulang sebut berkali-kali di pentas terbuka.

Hari ini nampaknya terpaksa diakui bahawa penceramah itu BETUL. Semakin hari semakin nyata bodoh dan jahatnya manusia-manusia UMNO ini.

Kes kampung Tebok Yan

Pada awalnya (dua bulan yang lepas) bekas JKKK secara sukarela dan kelihatan terhormat telah menyerahkan kunci dewan orang ramai kepada pengerusi JKKK baru. Satu persefahaman dimeterai secara tidak resmi iaitu "kita guna dewan ini sama-sama, tak kira parti apa pun". Alhamdulillah. PAS pegang satu kunci, UMNO pegang satu kunci.

Dua tiga minggu selepas itu, bekas pengerusi JKKK yang dah jadi pengerusi JKKP memandai-mandai mengarahkan pengerusi JKKK baru supaya membersihkan kawasan dewan. Macam-macam itu dan ini dipesan, diarah dan ditunjuk ajar oleh pengerusi JKKP seolah-olah orang Pakatan Rakyat tak reti nak jaga dewan.

Nyata makhluk UMNO Tebok Yan yang dua tiga kerat itu tak dapat menerima kenyataan politik bahawa negeri Perak bukan lagi ditadbir oleh BN. UMNO dua tiga beranak itu masih nak perasan bahawa dewan tu UMNO yang bina dan UMNO yang punya.

Oleh kerana meluat dengan buruk kelaku UMNO dua tiga kerat tu, pengerusi JKKK melalui mesyuarat JKK telah memutuskan untuk menukar kunci dewan. Kalau UMNO nak guna dewan, mereka boleh mohon kepada Pengerusi JKKK. Kalau JKKP nak guna pun boleh dipertimbangkan.

UMNO sekeluarga yang jadi raja di Tebuk Yan tak dapat terima tindakan menukar kunci dewan tersebut lalu berlakulah adegan jijik berikut:

1. mereka mengosongkan dewan dengan mengambil semua perabot dan peralatan.

2. mereka menamatkan khidmat bekalan air (LAP)

3. mereka menamatkan khidmat bekalan elektrik (TEN)

Mesyuarat jawatankuasa penaja unit peladang terpaksa diadakan dalam dewan tanpa kerusi. Semua yang hadir duduk bersila atas lantai.

Selepas mengosongkan dewan, Pengerusi JKKP meninggalkan sepucuk surat memaklumkan tindakan membawa keluar perabot dan peralatan dewan itu. Alasannya:

SEMUA PERABOT DAN PERALATAN DALAM DEWAN ITU ADALAH MILIK SYARIKAT KAMPUNG. BUKAN MILIK JKKK. BUKAN PERUNTUKAN KERAJAAN.

Rupanya kerajaan BN selama ini tak pernah menyediakan peruntukan perabot dan peralatan dewan orang ramai. BN hanya bina dewan kosong. Tanpa perabot. Tanpa Peralatan. Tanpa bekalan air. Tanpa bekalan elektrik.

Bodoh sungguh kerajaan BN! Bodoh sungguh kerajaan UMNO!

Atau dua tiga kerat UMNO Tebok Yan itu yang amat bodoh. BODOH kerana sepanjang memimpin kampung mereka tak tahu nak usahakan peruntukan perabot dan peralatan dewan. BODOH kerana percaya bahawa mereka boleh memperbodohkan orang lain dengan menipu tentang syarikat kampung.

Syarikat kampung? Syarikat apa? Siapa pemiliknya? Apa butiran pendaftarannya?

Itulah UMNO. Sama saja dimana-mana pun. Mungkin ada segelintir yang tak jahat dan tak bodoh. Tapi kebanyakannya memang bodoh dan memang jahat?
4:08:00 PG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya

Pantai Kota Kulit Kerang - Idea Dialu-alukan!

Written By marhain jelata on 29 November 2008 | 12:17:00 PG



Keadaan pantai Tanjung Burung 1 km di barat pekan Pantai Remis, Kg. Pengkalan Bharu sehingga Kg. Panchor sepanjang 9 km yang dilitupi kulit kerang dan kulit pelbagai jenis siput.


Pemandangan pantai dari arah Utara

Pemandangan pantai dari arah Selatan

Cengkerang pelbagai jenis siput dan kerang

Muara sungai ini (Sungai Sembilang) telah tertutup semasa peristiwa Tsunami

Kawasan lapang sepanjang pantai dinaungi pokok-pokok keluarga bakau

12:17:00 PG | 1 ulasan | Baca sepenuhnya

UMNO BERUAS - Selamat Tinggal Dato' Hj. Hamdi

Written By marhain jelata on 13 Oktober 2008 | 2:27:00 PTG


YB Dato' Hj. Hamdi Abu Bakar, ADUN N36 Pengkalan Bharu gagal mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Beruas dalam mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian yang berlangsung kelmarin (12 Oktober). Dato' Hamdi tewas kepada bekas Naib Ketua Bahagian, Abdul Manaf Hashim.

Bekas Ketua Pemuda Bahagian yang juga CEO Yayasan Pelajaran MARA, Mohd Ali Hj Mansor juga gagal merebut jawatan Timbalan Ketua Bahagian setelah tewas kepada Ketua Penerangan Bahagian, Azhar Ahmad.

Kerusi Naib Ketua Bahagian dimenangi oleh Azman Noh setelah menewaskan Abdul Shukur Ismail dan Abdullah Sani.

Penganalisis politik merumuskan UMNO Beruas berubah wajah sepenuhnya setelah pakej Dato' Hj Hamdi tewas semua post utama yang ditandingi iaitu Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua.

berita keputusan pertandingan di Utusan Malaysia
2:27:00 PTG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya

Bantuan Aidil Fitri Untuk Warga Miskin - Cukupkah?

Written By marhain jelata on 04 Oktober 2008 | 8:57:00 PTG

Alhamdulillah. Aidil fitri telah disambut. Dalam tempoh seminggu sebelum lebaran Kerajaan PR negeri Perak telah menunaikan tanggungjawab kepada golongan yang kurang bernasib baik. Pelbagai jenis bantuan telah dihulurkan. Sekurang-kurangnya tujuh jenis bantuan atau sumbangan telah berlaku di kawasan Parlimen Beruas iaitu bantuan zakat melalui jawatankuasa masjid, sumbangan Ahli Parlimen, sumbangan ADUN, sumbangan moreh melalui pusat khidmat DUN, sumbangan oleh sektor swasta dan sumbangan oleh PAS cawangan-cawangan.

Khabarnya di kawasan-kawasan lain ada tambahan sumber bantuan iaitu sumbangan oleh PAS Kawasan, sumbangan oleh Majlis Tindakan DUN dan sumbangan oleh dewan-dewan Pemuda/Muslimat.

Kerajaan Persekutuan juga tidak ketinggalan menunjukkan keprihatinan dengan menghulurkan bantuan dan sumbangan melalui Ahli Parlimen, ADUN dan UMNO Bahagian.

Sekali lagi alhamdulillah. Natijah akhirnya ialah keuntungan untuk rakyat. Kalau dulu UMNO sahaja yang ada sumber untuk memberikan bantuan tetapi kini PAS, PKR dan DAP juga dapat membantu. Selayang pandang, aliran sumbangan oleh kerajaan negeri pada tahun ini lebih meluas, lebih nilai dan pastinya penuh ketelusan. Wang atau barangan bantuan tidak lagi bocor di jalanan.

Di sebalik kelainan yang amat menggembirakan itu, semua pihak patut lebih pantas memikir dan bertindak untuk penyelesaian yang lebih tuntas bagi permasalahan kemiskinan ini. Bantuan beberapa ratus ringgit menjelang hari raya tidak mampu mengubah taraf hidup golongan itu.

Kerajaan negeri dan parti-parti Pakatan Rakyat di semua peringkat sewajarnya ada plan yang lebih praktikal untuk membangunkan keupayaan golongan miskin ini sehingga mereka tidak lagi kekal di status itu. Jika ini dapat dilaksanakan, satu masa nanti kita tidak perlu lagi sibuk menyiasat untuk mengenalpasti siapa yang layak diberikan bantuan malah mereka yang pernah dibantu itu pula yang tampil sebagai penyumbang.

PAS Kawasan Beruas melalui Lajnah Ekonomi serta PAS cawangan-cawangan dengan kerjasama JKKK akan melipatgandakan usaha untuk bergerak ke arah matlamat itu bermula di bulan Syawal yang penuh kegembiraan ini.

Input daripada semua pihak sangat dialu-alukan.
8:57:00 PTG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya

Selamat Hari Raya - Nasyid Raihan & NowSeeHeart

Written By marhain jelata on 01 Oktober 2008 | 10:03:00 PG

10:03:00 PG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya

SALAM AIDILFITRI

Written By marhain jelata on 28 September 2008 | 4:22:00 PTG



Assalamualaikum.

PAS kawasan Beruas mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua muslimin dan muslimat dengan doa mudah-mudahan amalan kita sepanjang Ramadhan al-mubarak diterima oleh Allah SWT. Marilah kita memohon mudah-mudahan Allah SWT mengurniakan rahmat, keampunan dan kelepasan dari azab neraka.

PAS kawasan Beruas menginsafi betapa masih terlalu banyak kelemahan dan kekurangan dalam menjalankan amanah dakwah dan amar ma’ruf nahi munkar yang dipikul ini. Kedaifan makin terasa setelah Allah mengamanahkan mandat mengurus-tadbir negeri Perak sejak enam bulan yang lalu.

Kawasan Parlimen Beruas beruntung justeru diwakili oleh ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang kebetulannya adalah Pengerusi DAP Perak yang dimandatkan sebagai exco kanan Kerajaan Negeri manakala kawasan DUN Pantai Remis di wakili oleh Ketua Pemuda DAP Pusat yang juga exco Kerajaan Negeri.

Namun begitu kita masih kurang bertuah kerana kawasan DUN Pengkalan Bharu diwakili oleh ADUN BN/UMNO setelah tewas tipis dengan majoriti 14 undi dalam pilihanraya yang lalu. Keadaan ini sedikit mengganggu kelancaran urustadbir pembangunan bagi N.36 Pengkalan Bharu.

Walau bagaimana pun, kita bersyukur kerana Kerajaan Negeri telah pun menyelesaikan urusan pelantikan penyelia DUN. Kita telah pun menerima surat resmi berhubung pelantikan Timbalan Yang DiPertua PAS Beruas iaitu Tuan Hj. Mohd Nazeer Hamid sebagai Penyelia DUN Pengkalan Bharu. Warga kawasan DUN Pengkalan Bharu mengalu-alukan pelantikan ini dengan harapan agar urusan kebajikan dan pembangunan penduduk dapat dipacu dengan jayanya.

PAS kawasan Beruas menyeru semua pihak agar dapat bekerjasama memberikan input untuk mencorakkan pengurusan pembangunan masyarakat secara adil dan telus sepertimana prinsip yang digagaskan oleh YAB Menteri Besar.

Selamat menyambut ‘Eid alMubarak.

SAMAD BIN NAIMAN
Yang DiPertua
PAS Kawasan Beruas
4:22:00 PTG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya

Diskusi Ucap Utama PJ PAS Perak Di Konvensyen 26 Julai 2008

Written By marhain jelata on 05 Ogos 2008 | 9:51:00 PTG


DISKUSI UCAP UTAMA PJ PAS PERAK - KONVENSYEN 2008

Konvensyen PAS Perak kali ke 13 telah selamat berlangsung di Rapat Setia, Ipoh pada 26 dan 27 Julai 2008 dengan kehadiran lebih 800 perwakilan dan pemerhati. Peresmian pembukaan disempurnakan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Konvensyen bermula dengan ucap utama Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Haji Ahmad Awang bertemakan “Mengisi Kemenangan - Memantapkan Perjuangan”.

Diskusi ini merujuk kepada butiran kedua-dua bahagian tema konvensyen iaitu “mengisi kemenangan” dan “memantapkan perjuangan” yang dihuraikan oleh Ustaz Ahmad Awang dengan masing-masing 13 dan 11 perkara bagi setiap satu bahagian.

24 perkara yang diperincikan dalam ucap utama itu perlu diambil perhatian serius oleh semua pihak dan semua peringkat dalam PAS. Bagi maksud itu, satu plan bertindak yang jelas dan terperinci harus disediakan. Ia patut bermula di peringkat Badan Perhubungan PAS Perak sebelum turun ke peringkat kawasan dan cawangan. Jika tidak wujud mekanisme untuk mencapai objektif perincian ucap utama ini, maka ia akan hanya berkesudahan sebagai naskhah usang yang tiada nilai.


Mengisi Kemenangan

13 langkah yang diperincikan berhubung ‘mengisi kemenangan’ terbahagi kepada 5 kerangka tindakan yang perlu digerakkan dengan bersungguh-sungguh.

Perkara (a) merujuk kepada tanggungjawab meningkatkan kualiti hubungan ahli PAS dengan Allah SWT melalui amalan dan ibadah secara individu dan jamaie.

Perkara (d) merujuk kepada tanggungjawab dakwah secara umum. Ia mesti digerakkan lebih meluas dengan penglibatan berkesan semua institusi kerajaan, masyarakat dan parti.

Perkara (b), (c), (e), (k), (l) dan (m) merujuk kepada tanggungjawab ahli-ahli parti yang terlibat langsung dalam pentadbiran kerajaan bermula daripada Menteri Besar, Exco, ADUN, pentadbir GLC, ahli Majlis PBT sehingga penjawat Ketua Kampung dan ahli JKKK. Konsep serta prinsip adil, amanah, telus, berwibawa dan berkebajikan wajib dijelmakan dalam semua dasar, polisi, langkah, program dan projek kerajaan di semua peringkat bagi mencapai kualiti good governance yang dijanjikan dalam manifesto pilihanraya Pakatan Rakyat.

Perkara (f), (g), (h) dan (j) merujuk kepada tanggungjawab politik pemimpin PAS di peringkat negeri dan kawasan untuk menambahkukuhkan ikatan setiakawan antara PAS, PKR dan DAP. Ketiga-tiga parti harus membina persefahaman utuh sebagai satu team yang benar-benar sepakat dan bertanggungjawab dalam merealisasikan hasrat serta aspirasi rakyat yang telah memberikan mandat dan kepercayaan.

Perkara (i) merujuk kepada jentera pilihanraya PAS di peringkat negeri, parlimen, DUN dan UPU. Jentera di semua peringkat mesti menggerakkan tugasan pilihanraya dari sekarang dengan strategi yang sistematik dan efisien untuk mencapai kemenangan yang lebih besar dalam pilihanraya umum ke 13. Bagi mencapai objektif itu, beberapa anjakan radikal perlu dilakukan dalam hal pengurusan strategi, pendekatan, media, tektikal dan teknikal pilihanraya.

Memantapkan Perjuangan

11 langkah yang diperincikan berhubung ‘memantapkan perjuangan’ terbahagi kepada 5 kerangka tindakan yang lebih bersifat dalaman.

Perkara (a) merujuk kepada langkah pemerkasaan organisasi parti di semua peringkat. Kualiti urus-tadbir parti mesti ditingkatkan sesuai dengan tuntutan semasa. PAS mesti diuruskan secara profesional dari sudut kepejabatan, budaya kerja, kemudahan akses dan piagam pelanggan.

Perkara (b) merujuk kepada pelaksanaan tarbiyyah ahli yang komprehensif dan terfokus kepada keperluan pasca kemenangan. Bagi maksud itu kita memerlukan satu modul tarbiyyah yang up-to-date tetapi tetap berdiri di atas prinsip tarbiyyah rabbaniy dan nabawiy yang tulen daripada seerah RasuluLlah SAW.

Perkara (c) dan (k) merujuk kepada tanggungjawab ahli-ahli parti yang terlibat langsung dalam pentadbiran kerajaan bermula daripada Menteri Besar, Exco, ADUN, pentadbir GLC, ahli Majlis PBT sehingga penjawat Ketua Kampung dan ahli JKKK sama seperti perincian langkah ‘mengisi kemenangan’.

Perkara (d), (f), (i) dan (j) merujuk kepada pengurusan, strategi dan uslub dakwah secara umum. Sasaran aktiviti dan produk penerangan parti mesti merangkumi semua pihak dalam masyarakat iaitu muslim, non-muslim, Melayu, bukan Melayu, penyokong PAS-PKR-DAP, penyokong BN, lelaki, wanita, dewasa, belia/beliawanis, remaja dan pelajar.

Perkara (h) merujuk kepada oraganisasi pilihanraya PAS semua peringkat sama seperti perincian langkah ‘mengisi kemenangan perkara (i).


Rumusan Kerangka Tindakan

5 kerangka tindakan ‘mengisi kemenangan’ dan 5 kerangka tindakan ‘memantapkan perjuangan’ tersebut boleh dirumuskan kepada 4 kerangka besar untuk diselesaikan iaitu:

- Tarbiyyah Ahli

- Dakwah Muslim dan Non-Muslim

- Pengurusan Organisasi Parti

- Pengurusan Pentadbiran Kerajaan

Daripada 4 kerangka tersebut, hanya satu sahaja perkara baru bagi kita iaitu pengurusan tanggungjawab sebagai kerajaan negeri. Secara resminya urusan itu hanya melibatkan ahli-ahli PAS yang menjawat jawatan dalam pentadbiran kerajaan iaitu MB, exco, setpol MB, pegawai-pegawai khas MB dan exco, pentadbir GLC, ahli Majlis PBT, Penyelia DUN, kakitangan tetap pejabat Penyelia DUN, Ketua Kampung dan ahli JKKK.

Organisasi PAS negeri, kawasan dan cawangan hanya terlibat secara tidak langsung dalam membantu keberkesanan pentadbiran kerajaan.

3 kerangka besar yang lain adalah skop tanggungjawab kita yang asas sejak penubuhan parti lebih 50 tahun dahulu iaitu tarbiyyah, dakwah dan pengurusan organisasi parti termasuk jentera pilihanraya.


Diskusi 1 – Tarbiyyah Ahli

Kita telah sedia memiliki modul tarbiyyah seperti yang telah dikursuskan, ditaklimatkan, dimuzakarahkan dan dibrain-stormkan di pelbagai peringkat setiap tahun atau sekurang-kurangnya setiap dua tahun apabila penanggungjawab potfolio Lajnah Tarbiyyah bertukar. Kita juga telah sedia memiliki teks dan lain-lain bahan tarbiyyah untuk kegunaan usrah, tamrin dan lain-lain program yang berkaitan.

Program Liqa’ Fikri/Tarbawiy yang diadakan setiap bulan telah pun berfungsi sebagai medan menyelaras fokus tarbiyyah dari pelbagai sudut. Secara langsung atau tidak langsung, program itu telah pun berfungsi sebagai platform untuk penegasan ehwal tarbiyyah semua peringkat parti, berdasarkan keperluan semasa dan kesesuaian terkini yang dikenalpasti oleh Lajnah Tarbiyyah Negeri.

Ketidakpastian yang masih wujud dalam urusan tarbiyyah ini ialah ketiadaan atau kekaburan monitoring system yang efisien di peringkat negeri untuk mengesan dan menyelesaikan masalah kegagalan pelaksanaan program tarbiyyah di peringkat kawasan dan cawangan.

Oleh itu, modul baru yang akan dibangunkan atau modul asal yang akan dikemaskinikan patut memberikan tumpuan terhadap 'keberdirian' monitoring system yang praktikal dan efisien.

Ucap utama PJ memberikan penekanan sfesifik tentang ‘taqarrub ilaLlah” yang mesti dijiwai oleh ahli PAS. Sehubungan dengan itu, modul baru atau modul kemaskini harus memuktamadkan wirid, zikir, doa, munajat dan tilawah quran yang seragam dari sudut sukatan, jadual dan peringkat pergerakan amalannya. Ia patut berbentuk standard syllabus yang dibukukan dan disediakan juga dalam bentuk media terkini seperti CD, VCD, soft-file dan lain-lain media yang sesuai.

Modul tarbiyyah pasca kemenangan ini juga patut memberikan penekanan terhadap pena’kulan pengurusan hati yang lebih advanced berkaitan sifat mahmudah dan mazmumah serta penelitian berobjektif terhadap specific personality pada diri Rasulullah, khulafa’ rasyidin, syuhada’, dan mujahidin/mujahidah sepanjang zaman yang menjurus kepada ketulenan kualiti hati.


Diskusi 2 – Dakwah Muslim dan Non-Muslim

Ucap utama PJ berhubung persoalan dakwah memberikan fokus kepada persoalan pengurusan, strategi dan uslub dan diikuti penegasan tentang kepelbagaian mad’uw (individu dan kelompok sasaran). Iklim politik Malaysia terkini membuka ruang yang amat luas kepada usaha pendedahan maklumat dan penyampaian mesej risalah Islam kepada semua kelompok dan kategori masyarakat. PAS di semua peringkat wajar memanfaatkan peluang ini semaksimum mungkin. Lajnah, jabatan dan unit yang berkaitan dengan penerangan serta mempunyai akses terhadap non-muslim, perlu segera bertindak.

Bagi mencapai objektif ini, pengurusan strategi, bahan dan uslub mestilah diblue-printkan secara sistematik dan terarah seperti dakwah Nabi SAW. Khazanah sunnah dakwah Nabi SAW period Makkiyyah dan Madaniyyah wajib digali selumat mungkin dan diaplikasidalam segenap aspek dakwah kita. Seterusnya penetapan strategi, penyediaan bahan dan aplikasi uslub harus mesra realiti dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi terkini khususnya kemudahan ICT, multimedia dan telekomunikasi.

PAS negeri wajib tampil sebagai bapa yang canggih boreknya dalam pengurusan dakwah dan penerangan ini supaya PAS kawasan dan cawangan dapat menjadi anak-anak yang rintik langkah dan gayanya. Pepatah ‘busuk ikan dari kepalanya’ harus sentiasa menggerunkan kita dalam muhasabah diri setiap hari.

Tsunami politik ‘makkal shakti’ pada pilihanraya ke 12 yang lalu dikaitkan dengan pengedaran CD dan VCD tentang pengkhianatan Samy Vellu dan kroninya terhadap kaum India yang diedarkan hingga ke semua rumah masyarakat India. Fakta ini patut menginsafkan kita tentang keperluan penyediaan bahan dan mekanisme penyaluran bahan yang objektif dan efisien.

Sebagai salah satu parti yang memiliki tongkat ‘kerajaan’, PAS Perak patut pro-aktif dan agresif memanfaatkan institusi kerajaan dan institusi masyarakat yang di bawah takluk kerajaan untuk menyemarakkan dakwah. Empat bulan telah berlalu tanpa kelibat daya yang terarah dalam ehwal dakwah di masjid dan surau seluruh negeri Perak dalam konteks produk kerajaan negeri.

Kita wajib akui bahawa mandat memerintah negeri Perak tidak datang daripada majoriti pengundi Melayu Islam. Dengan kata lain, kebanyakan masjid dan surau bukan dikuasai oleh majoriti penyokong PAS. Oleh itu, langkah mengharapkan ahli dan penyokong PAS di kampung-kampung mengambil inisiatif sendiri untuk mengimarahkan masjid dan surau dengan program dakwah adalah idea yang tidak bijaksana dan tidak bertanggungjawab.

Tongkat yang dipinjamkan oleh Allah dalam rupa ‘authority’ ini wajib digunakan untuk menyusun dan menggerakkan dakwah di masjid, surau, dewan dan lain-lain premis yang sesuai, dengan penuh kesedaran dan rasa tanggungjawab.

Nikmat pangkat, gaji, kemudahan, kepuasan dan penghormatan yang disinggahkan buat sementara ini akan akhirnya menjadi penyesalan yang tak berguna jika keris yang tergenggam hanya dihunus untuk menikam batang pisang.


Diskusi 3 – Pengurusan Organisasi Parti

Isu pengurusan organisasi adalah isu sepanjang zaman. Sekali air bah sekali pantai berubah. PAS tidak dapat lari daripada anjakan dan perubahan persekitaran yang berkait dengan pengurusan organisasi. Secara perbandingan, pengurusan organisasi PAS terbukti lebih maju daripada parti-parti rakan dalam Pakatan Rakyat bahkan berbanding UMNO/BN yang kaya itu. Syabas!

Kekuatan istimewa PAS ialah kesetiaan ahli dan kesediaan bekerja tanpa imbuhan di segenap bidang tanggungjawab. Kekuatan ini ditambah pula oleh kesanggupan berkorban harta, masa dan tenaga yang diakui kawan dan lawan.

Pesuruhjaya menekankan kepentingan pemerkasaan organisasi parti supaya PAS benar-benar wujud sebagai sebuah jamaah islamiyyah tulen seperti kehebatan organisasi pimpinan RasuluLlah SAW. Pengurusan yang disunnahkan oleh Nabi SAW ketika memimpin organisasi dakwah yang kecil di Mekah sehinggalah memimpin kerajaan di Madinah merupakan pengurusan yang sangat profesional. Teladan itulah yang mesti kita jiwai sepenuhnya dan ditegakkan sebagai prosedur pengurusan yang piawai di semua peringkat.

Organisasi PAS wajib mempunyai piagam pelanggan yang menepati kehendak dan keperluan pengurusan terkini. PAS mempunyai pelanggan yang ramai dari pelbagai kategori iaitu unit organisasi PAS bawahan, ahli-ahli parti, parti-parti politik rakan dan lawan, NGO, badan kerajaan dan swasta serta orang ramai.

Prosedur pengurusan dan piagam pelanggan mestilah merangkumi keperluan hubungan dengan semua individu atau kumpulan pelanggan. Setiap perkara adalah penting walau pun kelihatan kecil. Contohnya, PAS wajib membalas setiap surat yang diterima daripada pelanggan. Sekurang-kurangnya balasan itu hanya sekadar memaklumkan bahawa surat pelanggan telah diterima. Perkara ini biasa dianggap kecil tetapi hakikatnya ia amat memberi kesan kepada kelancaran pengurusan organisasi dan kualiti hubungan PAS dengan pelanggannya.

Apakah terlalu sukar untuk menyediakan sehelai surat balasan resmi yang hanya menyatakan “surat tuan bertarikh 01 Januari 2008 telah diterima. Pihak kami akan meneliti cadangan tuan dan akan memaklumkan perkembangannya setelah selesai perbincangan yang berkaitan”. ???

Organisasi PAS negeri, kawasan dan cawangan termasuk jentera pilihanraya mestilah memanfaatkan kemudahan ICT, multimedia dan telekomunikasi untuk mencapai kualiti pengurusan berkesan. Kita patut membangunkan set perisian yang standard untuk digunakan oleh semua peringkat organisasi.

Bagi mencapai kualiti pengurusan organisasi yang cemerlang di semua peringkat, satu syllabus latihan pengurusan dan satu sistem perkaderan petugas organisasi wajar dibangunkan oleh PAS Perak sama ada oleh Majlis Tindakan Setiausaha atau lain-lain lajnah/jabatan yang berkenaan.

Roh organisasi adalah pada musyawarah di kalangan anggota organisasi itu. Semua gerak dan langkah organisasi harus terbit daripada musyawarah yang tulen. Syura bukan sekadar ehwal aliran kerja dan kualiti pelaksanaan tugasan. Syura yang disunnahkan oleh RasuluLlah SAW berdiri di atas prinsip hablun minan-nas yang komprehensif. Idea bukan sekadar produk akal atau ketajaman fikiran sahaja tetapi hendaklah terbit dari akal manusia yang hatinya wara’, zuhud, sabar, terbuka, menghargai, kritis, menghormati, tenang dan memiliki semua ciri hati yang mahmudah.

Pengurusan organisasi berkesan amat bergantung kepada hati penjawat amanah sesebuah organisasi. Jiwa yang mutmainnah akan sentiasa menjunjung konsep dan prinsip syura yang telah diteladankan dengan sempurna oleh RasuluLlah SAW.

Organisasi PAS wajib menghayati konsep dan prinsip syura nabawi ini. Syura adalah platform mencerakinkan idea antara pelbagai pihak dan pelbagai aras dalam organisasi. Keputusan syura adalah hukum namun syura itu sendiri ada hukumnya. Kita perlu berjiwa besar untuk dapat menghidupkan roh syura tulen ketika menunaikan amanah kepimpinan dan tugasan yang kita sanggupi.

Syura berkesan adalah perbincangan atau musyawarah antara manusia-manusia yang sentiasa bimbangkan kesilapan idea dirinya sendiri serta sentiasa cenderong menghargai dan menghormati idea orang lain. Malapetaka akan menimpa kiranya identiti manusia yang bermusyawarah itu adalah keterbalikan daripada personaliti tersebut di atas.


Diskusi 4 – pengurusan pentadbiran kerajaan negeri

Isu ini adalah baru bagi kita di negeri Perak justeru inilah kali pertama kita menjadi sebahagian daripada gabungan parti yang memerintah negeri.

Secara resminya, tanggungjawab ini hanya melibatkan ahli-ahli PAS yang menjawat jawatan dalam pentadbiran kerajaan iaitu MB, exco, adun, setpol MB, pegawai-pegawai khas MB dan exco, pentadbir GLC, ahli Majlis PBT, Penyelia Dun, kakitangan tetap pusat khidmat adun dan pejabat Penyelia Dun, ketua kampung, ahli JKKK dan AJK biro-biro JKKK.

Organisasi PAS negeri, kawasan dan cawangan hanya terlibat secara tidak langsung dalam membantu keberkesanan pentadbiran kerajaan mengikut peringkat masing-masing.

Semua penjawat resmi pentadbiran kerajaan dari kalangan ahli PAS mestilah memahami dan menjiwai prinsip dan gagasan pentadbiran yang dijanjikan ketika pilihanraya atau yang diisytiharkan oleh MB dan Pakatan Rakyat selepas pilihanraya.

Isu penting yang harus diberi perhatian oleh penjawat berkenaan dan oleh PAS secara umum ialah kemudahan akses ke pejabat dan penjawat kerajaan. Kedua terpenting ialah keselesaan rakyat ketika berurusan dengan pejabat dan penjawat kerajaan. Isu ketiga ialah kepantasan maklum-balas dan tahap keberesan sesuatu urusan yang dibawa oleh rakyat.

PAS wajib memastikan pentadbiran kerajaan negeri fokus kepada keperluan dan kebajikan rakyat berdasarkan prioriti yang sepatutnya. Kita tidak boleh membiarkan ketidakadilan, kronisme, nepotisme, prokrastinasi dan bermacam-macam penyakit yang telah lama bernanah dalam jentera pentadbiran kerajaan.

PAS Perak wajar menyediakan mekanisme khas untuk urusan pemantauan dan perolehan maklum-balas berkaitan pentadbiran jabatan/agensi kerajaan daripada organisasi PAS bawahan atau daripada pasukan petugas khas yang dilantik.

Pentadbiran adil, amanah, telus, berwibawa dan berkebajikan perlu menjadi salah satu wirid maknawi pemimpin, petugas dan ahli PAS setiap hari.

WaLlahu a’lam.


9:51:00 PTG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya

Pengumuman

MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN & TAKLIMAT KEPADA KETUA-KETUA KAMPUNG NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

KHAMIS - 7 OGOS 2008
9.00 PAGI


DEWAN BANKUET
BANGUNAN PERAK DARUL RIDZUAN

9:39:00 PTG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya

UMNO Beruas – Saingan Sengit Pertandingan Ketua Bahagian

Written By marhain jelata on 29 Julai 2008 | 4:31:00 PTG

Ketua UMNO Bahagian Beruas, Dato’ Haji Hamdi Abu Bakar ditentang oleh Naib Ketua Bahagian, Abdul Manaf Hashim dalam pemilihan yang akan diadakan pada bulan Oktober atau November depan. Setakat ini Dato’ Haji Hamdi mendapat 4 pencalonan manakala Abdul Manaf juga mendapat 4 pencalonan untuk jawatan tersebut daripada 8 cawangan yang telah selesai mengadakan mesyuarat.

Dalam pilihanraya umum yang lalu, Dato’ Haji Hamdi berjaya mengekalkan penguasaannya di kerusi N.36 Pengkalan Bharu setelah mengalahkan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Husein dengan majoriti 14 undi.

Setakat ini hanya Dato’ Haji Hamdi dan Abdul Manaf menawarkan diri untuk bertanding kerusi nombor 1 UMNO Bahagian Beruas manakala jawatan Timbalan Ketua Bahagian diberitakan akan ditandingi oleh Ketua Pemuda Bahgian, Mohd Ali Hj Mansor dan Ketua Penerangan Bahagian, Azhar Ahmad. Penyandang jawatan ini, Mahir Afendi disebut-sebut akan mendapat pencalonan saat akhir sebagai senjata untuk memastikan kemenangan Dato’ Haji Hamdi.

Sementara itu jawatan Naib Ketua Bahagian ditandingi oleh bekas Ketua Pemuda Bahagian, Azman Noh daripada kem Abdul Manaf dan akan ditentang oleh bekas Naib Ketua Pemuda Bahagian, Shukor Ismail dan bekas AJK Bahagian, Abdullah Sani.

Pemilihan UMNO Bahagian Beruas tahun ini diramalkan sengit berikutan pertembungan tiga kem besar yang mempunyai sejarah kesetiaan sokongan masing-masing. Kem-kem itu dikepalai oleh Dato’ Haji Hamdi (Ketua Bahagian), Mohd Ali Mansor (Ketua Pemuda Bahagian) dan Abdul Manaf Hashim (Naib Ketua Bahagian).

Walau bagaimana pun Dato Haji Hamdi dilihat memiliki kelebihan berikutan kejayaannya mengelakkan pertembungan dua team seperti yang diwarwarkan diperingkat awal. Dato’ Haji Hamdi diberitakan berjaya mendapat kompromi daripada Ketua Pemuda Bahagian, Mohd Ali Mansor yang pada awalnya berhasrat untuk bergabung dengan Naib Ketua Bahagian, Abdul Manaf Hashim.

4:31:00 PTG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya

Awas! Tajol Simbah Petrol Pada Api Muzakarah

Written By marhain jelata on 28 Julai 2008 | 9:31:00 PTG

Berita TV1 dan TV3 sebentar tadi (8.00 malam 28 Julai) melaporkan sidang akhbar Tajol Rosli yang menawarkan kerjasama dengan PAS untuk membentuk kerajaan campuran UMNO-PAS di Perak. Dengan kata lain, tawaran itu bermaksud merobohkan kerajaan Pakatan Rakyat gabungan PAS-DAP-PKR yang baru berusia empat bulan.

Tajol menawarkan kerjasama yang kelihatan sangat murni melibatkan bilangan kerusi exco yang banyak untuk PAS. Kemungkinan laluan untuk post MB juga tidak dinafikan.

AWAS! Mainan politik UMNO telah menjangkau beberapa langkah ke depan. Mereka sedang memanfaatkan isu muzakarah muqabalah semaksimum mungkin. Kenyataan pengerusi DAP (YB Karpal Singh) berhubung cadangan mengkaji semula status PAS dalam Pakatan Rakyat membuka jalan kepada manipulasi ini.

Mujur dalam berita TV yang sama, YAB Menteri Besar Perak mengakhiri komennya dengan kata-kata “but I don’t think so” merujuk kepada soalan tentang kebarangkalian berlakunya kerjasama itu. Syabas Dato’ Seri!

Semua pihak yang menyokong Pakatan Rakyat sangat berharap agar pemimpin ketiga-tiga parti, PAS-DAP-PKR segera menamatkan isu ini dengan deklarasi bersama yang jelas dan terperinci. Pemimpin parti wajar sepakat menyerahkan ulasan tentang isu ini kepada hanya seorang pemimpin daripada setiap parti kepada mana-mana media cetak dan elektronik.

YB Karpal patut insaf untuk tidak lagi memberikan sebarang komen mewakili DAP atau Pakatan Rakyat. Langkah Pakatan Rakyat telah berulangkali berdepan dengan masalah akibat kenyataan dan komen YB Karpal.

Ahli PAS diseru supaya membanyakkan munajat dan berdoa memohon kepada Allah agar melindungi kerajaan Pakatan Rakyat serta memberikan kekuatan kepada pemimpin dan ahli PAS keseluruhannya.

9:31:00 PTG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya

Muzakarah/Muqabalah: Majoriti Rakyat Tak Peduli Pun

Isu ini adalah isu besar di TV dan akhbar arus perdana. Kupasan di gelanggang internet lebih dahsyat lagi berbanding di TV dan akhbar itu. Negara seolah-olah sedang dilanda bencana besar yang meragut ratusan ribu nyawa. Bahasa analisis di laman web telah melangkaui segala batasan budibahasa sejagat. Tetapi bagaimana rupa sebenar atau realiti penerimaan dan kepedulian masyarakat?

Lebih 8o peratus orang Melayu tak ambil pusing langsung tentang perkembangan isu ini. Orang UMNO masih dengan jiwa dan sikap yang sama macam dulu. Tak bertambah nilai UMNOnya dan tidak juga berkurang. Orang PAS pun sama. Jiwaraganya masih sesetia dulu walau pun turut sama berbincang pro-kontra bersabit isu ini.

Yang riuh rendah mengandai, menghukum, mencadang, mencemuh dan memaki hamun hanyalah segelintir manusia politik sama ada kerana rasa bertanggungjawab atas kapasiti masing-masing atau memang kerjanya bercakap atau menulis cerita politik.

Isu ini memang ada kesannya kepada aras dan arah kecenderungan politik rakyat semua kaum. Ada yang pro dan ada yang kontra. Itulah fitrah manusia bila dah ramai. Namun begitu kita perlu realistik dalam menentukan kadar kesannya, supaya tidak membazir masa dan tenaga mengulas dan bertindak.

Media arus perdana memanipulasi isu ini dengan penuh licik dan berniat jahat. Hal itu adalah jatidiri mereka sejak zaman berzaman. Mereka sentiasa sanggup melacurkan etika dan profesionalisme kewartawanan demi perut dan periuk nasi. Biarkanlah mereka!

Pemimpin Pakatan Rakyat wajar respond kepada beberapa episod terpilih yang diisukan oleh media jiwa BN itu, tetapi bukan semuanya. Kita tidak patut menari mengikut rentak yang mereka rencanakan. Layan yang mana patut dan abaikan saja mana-mana yang tidak memungkinkan sebarang keuntungan kepada gagasan kita.

Retak memang ada, namun tidaklah sampai ke tahap nak terbelah. Jika kita tidak terus melatah dengan serangan BN yang mensasarkan emosi kita ini, seminggu dua lagi mereka akan exhausted. Mereka sendiri ada banyak urusan dan masalah dalaman yang tak habis-habis.

Pemimpin dan aktivis Pakatan Rakyat di semua peringkat perlu terus bekerja menunaikan tanggungjawab masing-masing yang jauh lebih penting daripada melayan isu ini. Jangan terikut-ikut dengan polemik dan kontroversi yang kait-mengait seolah-olah tiada kesudahannya.

PAS, PKR dan DAP adalah parti yang berbeza latarbelakang, prinsip, matlamat dan caragaya bertindak. Kita bersama dalam satu persefahaman politik berdasarkan beberapa titik pertemuan yang serupa dan dipersetujui bersama demi satu matlamat iaitu membebaskan negara daripada kezaliman dan penyelewengan Barisan Nasional. Ini adalah hakikat Pakatan Rakyat.

Oleh itu, memang logik apabila kita berbeza persepsi dalam sesuatu hal atau urusan tertentu. Prinsip politik pegangan kita tidak sama. Kadar keterikatan kita kepada perintah agama juga tidak sama. Budaya kerja dan prinsip hubungan kemanusiaan kita juga tidak sama. Realiti ini memang mendedahkan kita kepada perbezaan demi perbezaan di sepanjang perjalanan persefahaman politik yang terjalin.

Namun begitu kita sangat yakin bahkan sejarah pun telah membuktikan bahawa perbezaan antara manusia atau kumpulan manusia tidak menghalang jalinan kerjasama yang berkesan. Kita optimis Pakatan Rakyat mampu terus tegak sebagai satu team untuk menggerakkan kesedaran dan kehendak politik rakyat ke arah perubahan politik yang lebih bermakna.

PAS, PKR dan DAP perlu sepakat menjernihkan kekeruhan yang timbul. PAS sebagai pihak yang mencetuskan kebimbangan rakan-rakan lain dalam Pakatan Rakyat perlu memberikan penjelasan dan hujjah berhubung apa yang sebenarnya berlaku. Nokhtahnya ialah satu kenyataan bersama ketiga-tiga parti yang menyatakan dengan terang bahawa ‘kita tetap sepakat’, ‘kita masih sepakat’ dan kita akan terus bersama di gelanggang politik Malaysia. Hitam-putih itu harus dikumandangkan ke seluruh negara dengan bersungguh-sungguh sama ada di depan mikrofon sidang akhbar atau di pentas ceramah dan helaian bercetak yang sampai ke tangan seluruh rakyat.

Kita serius menjunjung demokrasi bersuara. Oleh itu, kita alu-alukan suara semua pihak berhubung isu ini termasuk siaran media BN yang tiada sejarah baik niatnya terhadap kita. Bloggers yang menghentam kita dan pemimpin kita dengan label yahudi, babi, bengap, bodoh, opportunis dan seribu satu macam lagi juga kita ucapkan terima kasih. Jika mereka yakin bahawa tulisan mereka benar dan patut, silakan! Di akhirat nanti kita akan dihakimi secara detail setiap perkataan kita.

Malaysia today, raja petra kamarudin, penarik beca, adukateruna, mat saman kati, faisal tehrani, moderator blog lim kit siang dan banyak lagi nama-nama pemberi komen yang hebat-hebat di merata laman web dan blog, kita minta untuk terus menulis. Jika tulisan anda benar, maka rakyat akan untung dan anda akan mendapat kebaikan daripadanya. Jika tulisan anda adalah fitnah atau bersumberkan dendam dan kebencian, rakyat akan terus rugi, BN akan terus bertakhta dan lambat laun anda juga akan menerima akibatnya.

Bloggers dan pemberi komen yang hebat-hebat itu terkadang kelihatan seperti malaikat yang tak pernah silap. RPK terus dengan prinsip ‘plural’ dan ‘liberal’nya namun terus prejudis terhadap Islam. Adukateruna adalah penyokong kuat PAS tetapi dengan senang hati mem’babi’kan ahli PAS dan mem’bengap’kan Tuan Guru Haji Hadi. Mat Saman Kati bersemangat sungguh agar Pakatan Rakyat menumbangkan BN namun jiwa raganya membenci PAS lapan ribu peratus. Nampak macam DSAI dah jadi tuhannya dan PKR adalah parti suci lagi maksum.

Namun begitu pemimpin PAS, PKR dan DAP tak perlu terlalu gusar dengan suara keras dan kasar di angkasa raya ini. Mereka berhak menyatakan pendapat masing-masing. Rakyat bebas mendengar dan membaca. Namun begitu majoriti rakyat tak pernah kenal kaki-pukul dunia internet itu.

Harakahdaily menerima kunjungan sehingga lebih 1 juta sehari. Penulis sendiri akan melawat harakahdaily sekurang-kurangnya 5 kali sehari. Begitulah juga orang lain. Maknanya, hanya 200 ribu pengunjung sahaja yang menjenguk. Enam puluh peratus (120 ribu) adalah ahli atau penyokong setia PAS. 120 ribu itu jugalah yang menziarahi tulisan RPK, adukateruna, matsamankati, limkitsiangblog dan beberapa laman politik yang lain. Bakinya adalah rakan-rakan dari parti lain termasuk UMNO dan peniaga internet.

Ahli dan penyokong setia PAS setakat ini nyata tidak tergugat jiwa mereka dengan isu muzakarah muqabalah ini. Walau pun ada diskusi, pro, kontra, kritikan dan luahan namun mereka masih seperti asal. Majoriti Melayu lain sama ada tak peduli atau tak ada kemudahan capaian internet. Maka mereka tak tahu pun kewujudan forum politik alam siber yang riuh rendah itu.

Kaum China yang sering dilabelkan sebagai lebih celik politik pun tak berapa kesah dengan isu ini. Mereka ada berbincang isu ini kerana ia terpapar di akhbar setiap hari tetapi mereka juga sudah jemu dengan politik TV dan akhbar yang confirmed ‘putar-belit’ sepanjang zaman.

Rumusan tentang kesan kecenderungan politik kaum China dan India ialah mereka sedang tunggu dan lihat. Belum ada sebarang ‘stand’ yang muktamad. Mereka akan ikut ‘kepala’. Kalau ‘kepala’ kata terus sokong Pakatan Rakyat tak kira PAS atau PKR atau DAP, mereka akan sokong.

Kesimpulannya, pemimpin PAS, PKR dan DAP pusat, negeri dan kawasan/bahagian perlu relaks. Tak perlu menggelabah dengan tarian sumbang UMNO/BN dan maki-hamun malaikat-malaikat yang jadi bloggers.

1:28:00 PTG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya

Pilihanraya Ketua Kg. Panchor Masih Tertangguh

Written By marhain jelata on 25 Julai 2008 | 4:10:00 PTG

Pilihanraya memilih ketua kampong Panchor masih tidak dapat diadakan berikutan tiada penyelesaian berhubung status pengundi kaum China Bagan Panchor yang dibangkitkan oleh calon UMNO, Ahmad bin Wanchik.

Pengundian itu telah dijadualkan pada 5 Julai selepas penamaan calon pada 25 dan 26 Jun lalu. Pejabat Penghulu Mukim Pengkalan Bharu telah mengeluarkan notis penangguhan pada 4 Julai berikutan bantahan penyokong calon UMNO mengenai status pengundi kaum China tersebut.

Mesyuarat khas melibatkan kedua-dua calon dan lima penyokong masing-masing telah diadakan pada hari Selasa 22 Julai yang lalu tetapi masih gagal mencapai kata sepakat.

UMNO mendesak supaya kaum China yang tinggal di Bagan Panchor tidak dibenarkan mengundi dengan alas an mereka tiada kena mengena dengan hak memilih ketua kampong Panchor yang didiami oleh orang Melayu sahaja.

Pejabat Penghulu Mukim Pengkalan Bharu menjelaskan bahawa persempadanan kampong adalah mengikut pemetaan yang disediakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Manjung berkaitan pentadbiran mukim dan kampong. Persempadanan itu telah digunapakai sejak puluhan tahun yang lalu di bawah pemerintahan kerajaan negeri Barisan Nasional.

PAS Kawasan Beruas dan PAS Cawangan Panchor kesal dengan tindakan calon UMNO tersebut kerana menafikan hak kaum China. Yang DiPertua PAS Kawasan Beruas meminta pihak Pejabat Daerah dan Tanah Manjung agar segera menyelesaikan masalah berbangkit dan mengadakan pilihanraya secepat mungkin.

4:10:00 PTG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya

338 Ahli Majlis P.B.T Perak Angkat Sumpah

Written By marhain jelata on 19 Julai 2008 | 3:59:00 PG

Majlis perlantikan jawatan dan angkat sumpah ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan negeri Perak berlangsung di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Ipoh pagi tadi (Jumaat, 18 Julai). Majlis itu diresmikan oleh YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Hj. Mohd Nizar Jamaluddin.

338 ahli Majlis termasuk 30% daripadanya yang terdiri dari kalangan profesional atau wakil NGO (bukan wakil parti politik) mengangkat sumpah untuk melaksanakan tanggungjawab di 15 PBT seluruh negeri Perak.

Foto sekitar majlis tersebut boleh dilihat di SINI.

Walaubagaimana pun senarai nama ahli-ahli PBT itu masih belum dikemaskini sama ada di laman web SUK atau laman-laman web PBT Perak.
3:59:00 PG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya

Kerajaan PR Perak Akan Tumbang? – Renungan Untuk Pemimpin Dan Penyokong PAS

Written By marhain jelata on 16 Julai 2008 | 11:17:00 PTG

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak memang dalam bahaya! Keadaan ini bukan kerana statement ‘akan tumbang pada 31 Ogos’ yang diucapkan oleh Dato’ Seri Tajol Rosli. Bahaya itu sudah bermula sebelum Dato’ Seri Hj. Nizar mengangkat sumpah sebagai MB lagi. Dengan kata lain, bahaya itu telah bermula pada tengah malam 8 mac 2008 selepas keputusan pengiraan undi PRU12.

Pakatan Rakyat ada 31 kerusi manakala BN 28 kerusi. PR membentuk kerajaan hanya dengan kelebihan 3 kerusi. BN hanya perlu 2 kerusi terbang menyeberang untuk membolehkan mereka berkuasa semula.

Sejak saat itu Pakatan Rakyat memang dalam bahaya. Syukur kepada Allah kerana memberikan kekuatan kepada semua 31 YB kita untuk kekal mempertahankan prinsip sehingga sekarang.

Namun begitu kekuatan pertahanan kita untuk menyempurnakan tempoh berkuasa antara 3 hingga 5 tahun lagi memang layak dibimbangi. Sejarah telah membuktikan betapa UMNO/BN sanggup melakukan apa saja demi kuasa yang merupakan satu-satunya jalan serta matlamat hidup mereka. Maruah dan dosa bukan isu bagi mereka yang hidup dengan prinsip ‘matlamat menghalalkan cara’.

Tulisan ini bukan bermaksud membincangkan kemungkinan yang boleh berlaku atau cara mengatasi kemungkinan itu. Tulisan ini bertujuan mengajak rakan-rakan seperjuangan dalam PAS agar menghitung diri dan organisasi masing-masing secara menyeluruh demi pencapaian yang lebih bermakna di masa mendatang. Kita perlu lebih objektif dalam langkah dakwah kita serta dalam realiti percaturan politik negeri Perak.

Perak adalah negeri yang melahirkan PAS. Gunung yang merbahaya di bumi Perak ini bukan setakat menggerunkan musuh sekulit tetapi turut menggentarkan jiwa penjajah British yang punyai segala kelebihan fizikal. Perak memang hebat kerana melahirkan Dr. Burhanuddin Al-Helmi, Prof. Dr. Zulkifli Mohamad, Hasan Adli Singa PAS dan ramai lagi tokoh perjuangan ini.

Di sebalik sejarah yang hebat itu, hari ini PAS tidaklah gemilang di bumi kelahirannya ini. Setakat ini PAS hanya boleh dikaitkan dengan kawasan di sebelah utara iaitu Parit Buntar dan Bagan Serai. Kawasan majoriti Melayu/Islam lain masih berkarat birunya. Selama dan Batu Kurau serta ratusan kampung Melayu yang mengelilinginya masih tak terdaya dihijaukan walau pun komitmen keagamaan penduduknya kelihatan terserlah berbanding Perak Tengah dan Selatan. Parit yang membuat kejutan pada tahun 1999 terus kecundang dalam dua pilihanraya berikutnya. Hilir Perak yang menyediakan tokoh-tokoh hebat kepimpinan negeri seperti Ustaz Misbah dan Sdra Muhaimin, juga tidak memperlihatkan perkembangan menarik. Kuala Kangsar, Lenggong dan Grik tak kemana dari dulu hingga sekarang. Perak Selatan yang memiliki Ustaz Tarmizi dan Ustaz Zulkarnain juga hanya bertahan dengan perkembangan yang perlahan dan berdikit-dikit.

6 kerusi yang dimenangi dalam PRU12 bukanlah petunjuk kepada kekuatan PAS yang sebenar di negeri ini. Umum mengakui bahawa faktor Makkal Shakti memainkan peranan besar bagi kemenangan calon Pakatan Rakyat di seluruh negara termasuk negeri Perak. Majoriti kemenangan yang agak selesa hanyalah di kerusi N.51 yang di wakili oleh Menteri Besar. Itu pun dibayangi kekuatan besar Makkal Shakti. PAS Lumut mengakui bahawa pertambahan undi Melayu/Islam hanya pada kadar 10% sahaja.

Kenapa majoriti Melayu Perak masih tidak dapat menerima PAS? Sukar dipercayai jika dikatakan Melayu Perak menolak PAS kerana dasar Islam yang diperjuangkan. Melayu tidak menolak Islam sebagai asas perjuangan.

Salah satu rumusan awal tentang asas penolakan itu ialah mereka tidak memahami Islam sebagai Ad-Deen dalam konteks sebenar seperti yang kita yakini. Sebab kedua ialah mereka masih percaya bahawa UMNO juga memperjuangkan nasib umat Islam dan sentiasa berusaha menegakkan syiar Islam.

Mind-set ini telah berakar umbi dalam diri majoriti orang Melayu. Penjajah berjaya menyemai persepsi itu dalam jiwa datuk-nenek Melayu sejak era Malayan Union lagi. UMNO/BN juga berjaya menyambung misi penjajah. Semua sistem dalam pemerintahan negara yang boleh menjurus kepada pembentukan jatidiri, telah diolah dengan penuh licik oleh UMNO untuk menghasilkan jiwa Melayu/Islam yang prejudis dan skeptik terhadap Islam.

Melayu jenis inilah yang masih setia menyokong dan mengundi UMNO/BN. Aktivis PAS wajib insaf bahawa UMNO masih menjadi pilihan Melayu/Islam. Daripada 28 kerusi BN dalam DUN Perak, UMNO menguasai 27 kerusi.

PAS menang 6 kerusi kawasan Melayu/Islam manakala PKR 3 kerusi. Jumlah kerusi kawasan Melayu/Islam yang kita menangi hanya 9 berbanding 27 milik UMNO.

Pakatan Rakyat membentuk kerajaan dengan kombinasi 22 ADUN bukan Melayu/Islam (DAP-18, PKR-4)dan 9 ADUN Melayu/Islam (PAS-6, PKR-3).

Angka-angka ini patut direnung dengan penuh insaf oleh pemimpin dan aktivis PAS semua peringkat di negeri Perak. Pengaruh PAS memang bertambah berbanding masa lalu, tetapi hanya sedikit dan perlahan. Kejayaan Pakatan Rakyat bukan kemenangan perjuangan dan cita-cita Islam sebenar. Pencapaian ini hanya selangkah ke depan bagi matlamat perjuangan kita yang hakiki. Destinasi kita masih jauh.

Kita patut memeriksa semua asas, strategi dan pendekatan dakwah kita secara menyeluruh. Sunnah dakwah yang diwariskan oleh RasuluLlah SAW patut kita selongkar sehabis-habisnya. Tiada model lain yang boleh menggantikan asas, strategi dan pendekatan dakwah RasuluLlah sama ada dari sudut keberkesanan proses atau kegemilangan pencapaian. Ulama’ perlu serius kembali kepada model ini. Profesional pun wajib akur untuk kembali kepada pendekatan sunnah ini. Sunnatullah dalam apa jua perkara hanya satu. Tiada dua atau lebih.

Pemerhatian secara sistematik dan perumusan berobjektif patut dibuat terhadap butiran seerah dakwah RasuluLlah SAW, diikuti akplikasi penuh bertanggungjawab dalam penetapan strategi dan pengurusan gerak-kerja PAS semua peringkat di negeri ini.

Sunnah dakwah RasuluLlah adalah raja segala ideal. Allah telah mengesahkan bahawa ideal sunnah itu adalah suatu yang praktikal serta realiti yang mampu dilaksanakan oleh ummat Muhammad.

Pemimpin dan aktivis PAS wajar memerhatikan binaan dakwah RasuluLlah pada semua juzu’nya. Di antara perkara yang perlu diselidiki ialah :

kemuktamadan prinsip – kesahihan fokus – wibawa kepimpinan – watak pemimpin – wibawa dan seni penampilan – pengucapan berkesan dan berhikmah – budaya cambah-fikir – syura pelbagai aras dan arah – pemikiran strategik – profesionalisme pengurusan – pemikiran tektikal – pendekatan kasih sayang – pendekatan hormat dan penghargaan – budaya hisbah

Juzu’ keperibadian cemerlang RasuluLlah yang disenaraikan ini boleh dicungkil daripada keseluruhan kisah sepanjang tempoh hayat Nabi Muhammad seperti yang disusun di dalam kitab-kitab seerah. Juzu’ kecemerlangan pemikiran, organisasi, pendekatan dan tektikal boleh dikaji mengikut peringkat masa atau peristiwa yang khusus.

Pemimpin dan aktivis PAS perlu menguasai seni keperibadian RasuluLlah dalam hubungannya dengan semua pihak. Hubungan dengan penjaga (datuk dan bapa saudara baginda), kaum keluarga yang lebih tua, isteri, mertua, kaum keluarga sebaya, anak, menantu, cucu, bisan, sahabat, musuh, pemimpin masyarakat, golongan elit, rakyat bawahan, peniaga, tentera, panjawat awam, buruh dan lain-lain.

Pemimpin dan aktivis PAS perlu menghalusi seni strategi dan tektikal RasuluLlah dalam segala cabang kepimpinan baginda. Dakwah period Makkah, dakwah period Madinah, dakwah rahsia, dakwah nyata, dakwah individu, dakwah kelompok, dakwah massa, dakwah raja dan kerajaan, pendekatan lisan, pendekatan tulisan, pendekatan ghaib (doa), pendekatan seru, pendekatan pujuk, pendekatan marah, pendekatan ancam, pendekatan logika, pendekatan pembuktian, pendekatan sejarah, penstrukturan organisasi, kepelbagaian idea, pemeringkatan proses, tindakan diplomatik, tindakan fizikal, tindakan ketenteraan, kepelbagaian tektik perang, aplikasi fiqh awlawiyyat dan lain-lain.

Kita yakin jika pemimpin PAS negeri, kawasan dan cawangan benar-benar ta’aqul keseluruhan sunnah dakwah itu dan menjiwai kefahaman itu dalam praktik diri dan organisasi, Islam akan segera difahami oleh Melayu negeri Perak.

Apabila Melayu negeri Perak tidak lagi prejudis terhadap Islam, insyaAllah hanya PAS lah satu-satunya pilihan mereka dalam pilihanraya yang akan datang sama ada PRU13 atau PRU seterusnya.

11:17:00 PTG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya

Teroka Haram 1 - Dendang / Teroka Haram 2 - Sg Batu Segari Melintang

HARAM 1 - DENDANG

Penduduk sekitar Beruas terutama di kampung Dendang, Pintu Gerbang dan Tualang mendesak pihak berwajib menyiasat dakwaan aktiviti penerokaan haram di kawasan berdekatan kampung mereka.

Aktiviti yang menimbulkan tandatanya itu dilaporkan turut melibatkan bekas kawasan padang ragut seliaan Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan sebahagian kawasan hutan simpan.

pasberuas.blogspot diberitahu bahawa penduduk telah membuat laporan dan aduan kepada pejabat Jabatan Perkhidmatan Haiwan serta lain-lain pejabat yang berkenaan tetapi tiada tindakan lanjut sehingga kini. Aktiviti pembersihan kawasan dan penanaman kelapa sawit masih terus dilakukan oleh kumpulan peneroka tersebut.


HARAM 2 - SG. BATU SEGARI MELINTANG

Penduduk sekitar Pantai Remis terutama kampung Sungai Batu, Tebuk Yan dan Segari juga mendesak pihak berkuasa tanah daerah dan negeri serta Jabatan Perhutanan agar menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya berhubung aktiviti penerokaan tanah di kawasan berhampiran bekas lombong bijitimah dan kuari batu di sini.

Kawasan ini terletak hanya 3 km daripada jalanraya utama (jalan persekutuan) Pantai Remis - Lumut. (kawasan dalam bulatan kuning imej satelit - foto atas)

Aktiviti penanaman kelapa sawit telah lama dijalankan di sini tanpa tanda-tanda tindakan oleh pihak berwajib.

Penduduk mendesak supaya tindakan segera diambil oleh pihak berwajib sama ada menghentikan pembolotan tanah oleh individu/kumpulan yang sama atau membuka kawasan tersebut untuk dipohon oleh orang ramai yang layak.

SmileyCentral.comImej satelit di atas jelas menunjukkan aktiviti yang dinyatakan dan agak mustahil ianya terlepas daripada pemantauan pihak berkuasa yang berkenaan.

6:26:00 PTG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya

Munajat Rakyat Di Stadium Perak

Tarikh : 17 Julai 2008
Bermula : 7.00 petang
Tempat : Stadium Perak

Tentatif

Berbuka Puasa
Solat Maghrib
Tazkirah oleh Ustaz Suaid Din (Ketua Dewan Ulama' PAS Perak)
Solat Isya'
Solat Hajat & Munajat Rakyat


Ceramah

Penceramah 1 :
YAB Dato' Seri Ir. Hj. Mohd Nizar Jamaluddin
Penceramah 2 :
Al-Fadhil Ustaz Haji Ahmad Awang

UMNO/BN sedang berusaha untuk menggugat Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak berikutan kenyataan Dato' Seri Tajol Rosli mengenai kemungkinan kerajaan sekarang akan tumbang pada atau sebelum 31 Julai ini.

Sumber pasberuas.blogspot menyatakan bahawa UMNO/BN sedang giat berusaha memujuk 3 ADUN Pakatan Rakyat untuk keluar parti menjelang tarikh tersebut. Isu ini hangat dibualkan di kalangan rakyat negeri Perak terutama berkenaan sejumlah besar wang yang didakwa cuba diumpan kepada beberapa orang YB Pakatan Rakyat.

Sehubungan dengan itu Dewan Ulama' PAS Perak mengumumkan penganjuran majlis munajat rakyat pada 17 Julai (Khamis) ini bertempat di Stadium Perak, Ipoh. Program tersebut akan bermula dengan majlis berbuka puasa diikuti solat maghrib dan tazkirah. Solat hajat dan munajat rakyat akan diadakan selepas solat Isya'. Program akan diteruskan dengan ceramah oleh YAB Menteri Besar dan Pesuruhjaya PAS Perak selepas selesai munajat.

Ahli-ahli dan penyokong PAS diseru supaya berpuasa pada hari tersebut dan hadir beramai-ramai ke stadium untuk berbuka puasa dan mengikuti aturcara sehingga selesai. Penganjur menyeru supaya semua yang hadir dapat membawa juadah berbuka puasa dan sejadah.
2:24:00 PG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya

Cadangan Untuk PAS Perak – Mantapkan Komunikasi Dan Segerakan Pembuktian Gagasan Pemerintahan Berkebajikan

Written By marhain jelata on 13 Julai 2008 | 4:45:00 PTG

Tempoh 100 hari telah berlalu. Rakyat akur bersabar menunggu selesai tempoh itu. Rakyat faham tentang keperluan tempoh bertenang untuk memeriksa dan menyusun semula dokumen, struktur, piagam dan dasar pemerintahan yang baru. Rakyat berlapang dada memberi laluan kepada perakuan Pakatan Rakyat negeri Perak untuk menunaikan janji manifesto pilihanraya sebaik selesai tempoh 100 hari keramat itu.

Tempoh 100 hari telah berlalu. Rakyat mengakui bahawa kerajaan baru negeri Perak telah melakukan beberapa pembaharuan yang baik, antaranya :

1. Pengumuman langkah memberikan geran hak milik tanah kepada penduduk kampung baru (majoriti kaum Tionghua) dan kampung tradisional Melayu yang telah lama menduduki tanah kerajaan.

2. Bantuan awal kepada golongan miskin tegar bernilai RM200 untuk satu keluarga melibatkan peruntukan RM 1 juta.

3. Pelaksanaan kaedah pemilihan ketua kampung secara pengundian oleh warga kampung.

4. Penstrukturan semula agihan kerusi Ahli Majlis Daerah/Perbandaran dengan memperuntukkan 1/3 bilangan kerusi kepada profesional dan NGO yang bukan mewakili parti politik.

5. Bantuan RM1000 kepada anak Perak yang mendapat tawaran pengajian di IPTA.

6. Pemberian 20 cubic meter air percuma (L.A.P) kepada 15000 keluarga berpendapatan RM750 ke bawah melibatkan perbelanjaan hampir RM 2 juta sebulan.

7. Kenaikan elaun guru KAFA.

8. Pengumuman dasar profesionalisme pentadbiran jabatan kerajaan tanpa tekanan dan campurtangan melampau ahli politik.

9. Pelaksanaan dasar kerajaan mesra pelanggan dan pemimpin mesra rakyat melalui langkah mengurangkan kerenah birokrasi dan protokol ala feudal.

Mungkin ada beberapa perkara lagi selain daripada yang dinyatakan di atas. Itulah bukti kesungguhan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak untuk melakukan pembaharuan demi kebajikan rakyat.

Rakyat mengakui pembaharuan yang berlaku. Rakyat mengiktiraf kewajaran pelaksanaan dasar, polisi dan langkah yang telah dilakukan itu. Syabas dan tahniah!

Di sebalik pencapaian itu, secara jujur harus diakui bahawa Kerajaan Negeri Perak dilihat sangat lambat bahkan ramai rakyat menyifatkannya sebagai lembab dan seolah-olah kehilangan fokus.

Rakyat akur bahawa bukan semua perkara boleh dilakukan serentak dalam satu masa. Rakyat sedar bahawa misi dan visi besar Pakatan Rakyat memerlukan satu tempoh yang menasabah untuk terlaksana dan tercapai. Rakyat faham bahawa penunaian janji itu perlu berlaku secara berperingkat, satu demi satu atau sedikit demi sedikit. Rakyat sangat faham.

Namun begitu, rakyat yang mendukung perjuangan PAS, PKR dan DAP sejak sekian lama terutama ketika mengusahakan kemenangan pada PR12 yang lalu, sedang terkulat-kulat menunggu dan menanti komitmen yang lebih bermakna dan lebih terserlah daripada kerajaan Perak yang dijulang dan disokong.

Setakat ini, penggerak parti-parti Pakatan Rakyat di gelanggang politik sebenar iaitu di kampung dan pekan kecil, masih tidak menerima hitam-putih yang jelas tentang reform yang telah bermula atau yang sedang digerakkan oleh kerajaan negeri. 9 perkara yang tersenarai di awal tulisan ini belum memadai. Rakyat era maklumat adalah rakyat yang penuh kemampuan untuk menganalisis dan membuat penilaian.

Pemimpin-pemimpin PAS di peringkat kawasan parlimen dan kawasan DUN sedang bergelut dengan serangan hujjah bertubi-tubi oleh pencatur politik sebenar iaitu pengundi-pengundi. 9 perkara itu terlalu sedikit untuk dijual kepada telinga dan pemikiran ratusan ribu pengundi di sekeliling kita.

Wibawa Pakatan Rakyat bukan terletak hanya pada penampilan dan gaya pemimpin-pemimpin kerajaan. Rakyat kurang peduli tentang isu hubungan intim pemimpin kerajaan negeri dengan istana. Rakyat tak mau bersusah-payah mengambil tahu tentang peralihan 16 September. Rakyat tak bernafsu nak menyelidik benar atau tidak Shaiful Bahri diliwat. Rakyat tak ambil pusing tentang kehidupan peribadi pemimpin-pemimpin kerajaan PR Perak yang diwar-warkan sebagai low-profile, mesra, mudah diajak berbincang dan macam-macam lagi.

Rakyat sedang menunggu produk kerajaan negeri yang memberikan kesan langsung kepada kualiti dan taraf hidup mereka. Rakyat sedang menanti solusi berkesan yang patut dicetuskan oleh kerajaan untuk membantu mereka meningkatkan taraf hidup dalam era inflasi yang perit ini.

Rakyat tak teringin mendengar makluman tentang wacana itu dan ini di hotel sana dan sini melibatkan tokoh atau professional mana sekalipun. Rakyat tak teruja dengan program ceramah atau forum anjuran PAS, PKR dan DAP di dewan, padang dan stadium yang mendapat sambutan baik akhir-akhir ini. Rakyat tak heran dengan berita 50000 borang permohonan menjadi ahli PAS habis dalam masa yang singkat.

Isu utama rakyat ialah keselesaan hidup. Realiti ini wajib diinsafi oleh semua pihak terutamanya pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat. Sama ada wajar atau tidak wajar rakyat mengutamakan isu taraf hidup, itu bukan soalnya. Soalnya ialah hampir semua rakyat mendambakan keselesaan hidup yang lebih baik. Rakyat mengharapkan progress yang lebih pantas dalam isu pembelaan nasib mereka.

Pemimpin parti politik patut insaf bahawa mereka tidak mampu menentukan sepenuhnya bagaimana rakyat harus berfikir. Pemimpin PAS, PKR dan DAP tidak wajar menghukumkan supaya rakyat mengikut kehendak pemimpin semata-mata. Pemimpin diangkat ke kerusi itu oleh rakyat. Walau pun tugas pemimpin ialah sebagai pemandu bagi kenderaan yang dinaiki oleh rakyat, namun rakyat berhak menetapkan syarat kepada pemandu supaya memastikan perjalanan itu sampai ke destinasi yang dipersetujui bersama.

Kalau pemandu cuai ketika memandu, penumpang akan bertindak memaksa pemandu supaya berhenti. Rakyat akan turun dari kenderaan ini dan mencari kenderaan lain.

Rakyat sedang menilai dengan penuh teliti dan kritis. Keseriusan itu tergambar daripada soalan-soalan dan perli-sindir yang sentiasa berkumandang di forum mega rakyat di merata rumah, masjid, kedai dan di mana saja. Pemimpin PAS, PKR dan DAP peringkat negeri perlu merakyatkan pemikiran dan fokus mereka. Mereka selayaknya sangat maklum tentang prioriti projek atau program yang mahu dilaksanakan.

Penyokong PR khususnya ahli-ahli PAS masih ingat segala hujjah pemimpin dan penceramah PAS tentang good governance serta keutamaan meningkatkan taraf hidup rakyat terbanyak yang sentiasa dikumandangkan di pentas ceramah sepanjang zaman.

Sekarang PAS, PKR dan DAP mesti membuktikan ideal yang diwarwarkan sekian lama. Tanggungjawab itu terpikul ke atas bahu pemimpin ketiga-tiga parti. Anggota parti di peringkat bawah tetap setia menjalankan tugas dan berperanan untuk menjayakan cita-cita rakyat.

Masalah sekarang ialah rakyat belum nampak langkah yang bergaya oleh kerajaan negeri. Janganlah 9 perkara (di awal tulisan ini) itu dipertahankan sangat sebagai bukti tentang tindakan dan berperanannya kerajaan. Pemimpin PAS, PKR dan DAP mesti sedar bahawa rakyat bukan buta pengetahuan dan buta maklumat.

Satu kelemahan nyata kerajaan negeri Perak dan parti-parti kerajaan ialah komunikasi. Rakyat tak dapat maklumat yang jelas dan sahih tentang langkah dan tindakan kerajaan. Rakyat tidak diberi makluman yang tepat tentang tawaran atau peluang yang dikemukakan oleh kerajaan. Rakyat tidak diberikan penjelasan tentang isu-isu yang berbangkit sama ada dibangkitkan oleh musuh politik atau dipersoalkan oleh bukan kelompok politik.

Komunikasi PAS Perak dengan organisasi parti peringkat kawasan Parlimen dan DUN masih pada tahap kualiti tahun 60an. Organisasi dan anggota PAS peringkat bawah sentiasa mendapat berita tentang sesuatu perkara daripada pihak lain.

Isu pemberian hak milik tanah, butiran bantuan miskin tegar, makluman tawaran biasiswa/pinjaman pelajar IPT, isu keanggotaan ahli Majlis Daerah/Perbandaran, isu jawatankuasa qariah, kemudahan bantuan kerajaan untuk institusi pendidikan dan banyak isu lain hanya diketahui melalui tv, radio dan akhbar yang boleh diragui ketepatan maklumatnya.

Kenapa butiran lengkap hal-hal itu tidak disalurkan kepada PAS peringkat kawasan dan cawangan secara resmi? Apakah PAS Perak terlalu daif dan tak mampu nak bangunkan laman web untuk memuatkan penjelasan tentang isu-isu berbangkit dan memaklumkan langkah serta tawaran resmi kerajaan?

Terkini, tv dan akhbar harian memaparkan keluhan pelajar IPT yang datang ke pejabat exco Pelajaran (YB Nga Kor Ming) tetapi disuruh pulang oleh kakitangan pejabat. Ramai rakyat dimaklumkan bahawa kerajaan dah umumkan bantuan RM1000 kepada anak Perak yang dapat memasuki IPTA. Kebanyakan rakyat memahami bahawa ia adalah bantuan segera. Itulah yang beredar dari mulut A ke telinga B, dari mulut B ke telinga C dan seterusnya.

Tak mampukah pemimpin-pemimpin parti Pakatan Rakyat yang profesional belaka itu menyediakan notis bertulis tentang tawaran tersebut? Tak mampukah PAS Perak yang mantap itu mengemailkan notis tersebut kepada PAS kawasan-kawasan supaya dihebahkan kepada rakyat dengan butiran yang jelas dan terperinci? Tak mampukah pejabat SUK atau Pejabat Exco Pelajaran menghantar notis tersebut melalui faksimili ke pejabat-pejabat Penghulu Mukim untuk dimaklumkan ke kampung-kampung?

4:45:00 PTG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya