Tazkirah 4 - Memahami Persoalan Usul (Dasar) dan Furu' (Cabang)

Written By marhain jelata on 31 Mei 2008 | 10:02:00 PTG

Salah satu bentuk penyelewengan ialah 'lebih mementingkan bentuk lahir daripada isi'. Hal ini adalah salah dan amat merbahaya. Sepatutnya apabila kita menyeru orang lain kepada perkara-perkara furu'iyyah, kita mestilah terlebih dahulu mengukuh dan menegakkan perkara-perkara usul atau dasar aqidah Islam dalam diri kita. Hanya dengan cara ini kita akan terdorong untuk menyerah diri mengikuti perintah Allah dengan melaksanakan segala ajaran Islam mulai daripada perkara "kulliyyah" hinggalah kepada perkara juziyyah. Kita akan menerima baik segala ajaran Islam daripada yang sebesar-besarnya hingga kepada yang sekecil-kecilnya sebagai 'ibadat kepada Allah dengan rela hati.

Kalau kita jadikan perkara furu'iyyah sebagai asas yang kita beriltizam dengannya, sedangkan kita baru mulai berjalan di atas jalan da'wah, maka kita akan mengakibatkan "orang yang diseru" menjauhkan diri dari da'wah kita, dan secara tidak langsung menghalang mereka daripada bersama-sama kita dalam da'wah ini. Akhirnya secara tidak disedari, kita akan jadi terasing daripada mad'uw (golongan sasar) disebabkan uslub (cara) kita yang salah.

Da'wah Islam bermula dengan mengucapkan aqidah. Imanlah yang mendorong para da'ie untuk menyerah diri kepada Allah tanpa ragu dan bimbang, maka iman itu jugalah yang sepatutnya menjadi perkara yang diusahakan supaya hadir dalam diri golongan sasar. Kita tidak boleh menyeleweng daripada manhaj dan uslub kerasulan yang amat bijaksana itu.

"Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat yang baik." An-Nahl 125.

Terlalu Berkeras Dan Bersusah Payah

Penda'wah juga boleh terdedah kepada satu lagi bentuk penyelewengan yang tidak kurang bahayanya iaitu terlalu berkeras dan menyusah-payahkan sesuatu perkara sehingga mendatangkan beban kepada diri dan da'wah. Ada penda'wah yang membebankan diri untuk melakukan tugas-tugas taat dan ibadah yang di luar kemampuannya dengan keyakinan bahawa tindakan itu akan melatih dirinya agar lebih mampu mengikut manhaj Ilahi. Akhirnya dia tidak mampu meneruskannya lalu tercicir di tengah jalan hingga sanggup mencuaikan perkara-perkara fardhu, sunat dan nawafil. RasuluLlah telah mengingatkan kita supaya mengelakkan diri daripada cara yang demikian.

Sabda RasuluLlah SAW (mafhum): "Sesungguhnya Allah tidak jemu sehingga kamulah yang jemu".

Oleh itu kita wajib membezakan di antara tindakan tegas yang penuh kesungguhan dengan berpayah-payah menyusahkan sesuatu hal di luar realiti kemampuan diri atau jamaah. Nafsu hendaklah ditundukkan dan dikendalikan di dalam realiti kemampuan jamaah dan individu-individu di dalamnya.

"Ya Tuhan kami, janganlah bebankan kami dengan sesuatu bebanan yang tidak sanggup kami memikulnya." Al-Baqarah 286.

Jalan da'wah itu panjang dan sukar. Penda'wah yang ingin maju meneruskan da'wah janganlah membebankan diri dan jamaah dengan bebanan dan susah payah cerewet yang tak mampu dipikul. Amal yang sedikit tetapi berterusan adalah lebih baik daripada amal yang banyak tetapi terputus dan terhenti di tengah jalan. Kita juga tidak sepatutnya bersikap melampau dan cuai kerana kita mempunyai banyak tugas yang mesti dilaksanakan.

Da'wah ini memerlukan pendukung-pendukung yang bercita-cita tinggi, kuat kemahuan, keazaman yang tegas, tangkas dan unggul.

0 ulasan:

Catat Ulasan