N36 Pengkalan Baru – Dr. Khairudin vs ????

Written By marhain jelata on 27 Mac 2012 | 9:39:00 PTG

Pendek cerita, PAS dah pun umumkan nama Dr. Khairudin bin Dato’ Hj. Abdul Malek sebagai calon di N36 Pengkalan Baru untuk PRU13. Pengumuman dah dibuat sejak tak kurang 5 bulan yang lalu.

Majoriti warga kawasan DUN Pengkalan Baru bahkan kawasan Parlimen Beruas telah sedia kenal Dr. Khairudin. Paling tidak pun, mereka tahu dan kenal ayah Dr. Khairudin iaitu Allahyarham Dato’ Malek yang pernah jadi ADUN di kawasan ini beberapa penggal sehingga tahun 1990. Dato’ Malek meninggalkan UMNO pada tahun 1988 bersama dengan pemimpin dan ahli UMNO yang menubuhkan Parti Melayu Semangat 46.

Butiran ringkas tentang Dr. Khairudin ialah;

- anak tempatan
- seorang doktor perubatan yang ada klinik sendiri di Ipoh
- setakat ini menetap di Ipoh
- Yang Dipertua PAS Kawasan Tambun
- Setiausaha Pakatan Rakyat negeri Perak
- mantan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak
- Pengerusi Gabungan NGO Islam Perak (JAMAIE)
- … dan pelbagai bentuk komitmen dalam pelbagai NGO lain

Biodata lengkap calon ini akan diedarkan kepada seluruh warga N36 dalam masa terdekat.

Persoalan yang masih belum terjawab sehingga kini ialah siapa calon UMNO/BN? Dr. Khairudin vs siapa? Sembang politik di merata ceruk dalam kawasan DUN Pengkalan Baru belum berhenti menyebut empat lima nama orang kuat UMNO Beruas sebagai bakal calon. Kempen dan lobi masih rancak berlangsung.

Kalau dikira kedudukan dalam hiraki UMNO Beruas, sangat mungkin Dato’ Abd Manaf Hashim akan jadi calon sebab dia adalah Ketua UMNO Bahagian. Khabarnya Dato’ Manaf juga akrab dengan Perdana Menteri kerana mereka sama seangkatan sewaktu masih dalam Pergerakan Pemuda sekitar awal tahun 90an dulu. Dato’ Manaf adalah Ketua Pemuda UMNO Beruas ketika Dato’ Seri Najib memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Namun begitu, kalau diperhatikan iklim politik seharian, kelibat Datuk Azhar Ahmad lebih menampakkan gaya langkah seorang calon. Panglima-panglima setia Datuk Azhar pun masih yakin boss mereka akan jadi YB. Pegawai Khas MB Perak ini dikatakan ada kelebihan kerana keakrabannya dengan orang nombor 1 UMNO Perak yang merupakan majikannya itu. Kalau Dato’ Seri Dr. Zambry ada power memutuskan nama calon yang akan diperakukan oleh Presiden UMNO, maka Datuk Azhar akan jadi pilihan. Begitulah cakap-cakap di merata kampung. Selain itu Datuk Azhar juga dah berjaya menjadikan ramai orang kuat UMNO akar umbi terhutang budi kepadanya. Datuk Azhar kelihatan sentiasa ‘pemurah’. Macam-macam bantuan dah disumbangkan oleh Datuk Azhar kepada warga N36 atas kapasiti Pegawai Khas MB atau Pejabat MB. Dato’ Manaf tak ada senjata ini.

Oleh kerana di kawasan Parlimen Beruas hanya ada satu kerusi untuk UMNO masuk gelanggang iaitu N36 ini, maka sekira-kiranya saingan untuk hanya satu kerusi itu bolehlah dikatakan terhad perebutannya di antara dua nama ini sahaja (Dato’ Manaf dan Datuk Azhar). Namun petanda yang ada tidak menunjukkan begitu. Ada lagi nama-nama yang dikatakan turut serta dalam saingan kali ini iaitu Cikgu Azman Noh (Naib Ketua Bahagian) dan Mohamad Ali Mansor (mantan Ketua Pemuda). Penyandang ADUN iaitu Dato’ Hamdi Abu Bakar juga nampaknya seperti masih berhajat.

Cikgu Azman Noh adalah sekutu Dato’ Manaf Hashim sejak zaman Pemuda sehingga kini. Bekas guru yang sekarang merupakan ahli perniagaan ini telah memenangi post Naib Ketua Bahagian pada tahun 2008 dalam satu pakej bersama Dato’ Manaf Hashim. Ketika itu Datuk Azhar Ahmad juga dianggap sebagai calon Timbalan Ketua Bahagian dari pakej Dato’ Manaf, namun statusnya hanya bersifat ‘terjun’ setelah Mohamad Ali Mansor menolak lamaran Dato’ Manaf dan beralih menyertai pakej Dato’ Hamdi Abu Bakar di saat akhir.

Bisik-bisik politik di kampung-kampung menggambarkan 2 keadaan tentang Cikgu Azman Noh. Naib Ketua Bahagian ini dikatakan memberi sokongan kepada Dato’ Manaf untuk jadi calon DUN Pengkalan Baru. Tetapi sekiranya Dato’ Manaf bersedia untuk jadi senator di Dewan Negara atau Dewan Rakyat (?) seperti yang diura-urakan, maka Cikgu Azman adalah pengganti yang direstui oleh UMNO Bahagian untuk bertanding di kerusi N36. Ketua Bahagian tidak merestui Timbalannya untuk jadi calon pilihanraya kerana tindak tanduk timbalannya itu selama ini kelihatan seperti ‘lebih sudu dari kuah’.

Di celah-celah sorong tarik lobi dan kempen di antara penjawat utama UMNO Bahagian Beruas itu, penyokong setia Mohamad Ali Mansor sehingga kini masih percaya bahawa mantan Ketua Pemuda itu tetap berpeluang cerah untuk jadi calon kerana dia memiliki kriteria ‘winnable candidate’ yang riuh rendah didendangkan mutakhir ini. Walau pun Mohamad Ali tidak memegang sebarang jawatan di peringkat Bahagian namun dia dikatakan turut berpeluang kerana ada hubungan baik dengan pemimpin UMNO peringkat Pusat khususnya Dato’ Seri Hishamudin dan Dato’ Khalid Nordin. Kedudukannya sebagai Pengerusi UITM Perak dan Ahli Lembaga Pengarah UITM dikatakan menjadi modal besar bagi nilai reputasinya untuk diketengahkan sebagai calon YB. Selain itu, faktor tambahan dalam usaha melobi pihak atasan agar memilih Mohamad Ali Mansor ialah sokongan padu daripada Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian.

Pesaing nombor 5 ialah Dato’ Hamdi Abu Bakar. Veteran ini juga tak wajar diperkecilkan kemampuannya untuk muncul sebagai pemenang (jadi calon pilihanraya). Penyandang kerusi ADUN ini merupakan veteran politik yang sangat berpengalaman dalam sepak terajang politik dalaman parti. Sekarang ini dia di penggal ke 5 sebagai ADUN sejak tahun 1990. Antara faktor menarik tentang YB veteran ini ialah jasa besarnya ketika episod ‘rampasan kuasa’ kerajaan negeri Perak pada awal tahun 2009. Adegan pujuk memujuk dan culik menculik melibatkan ADUN Bota yang menyeberang ‘pergi-balik’ dalam hanya beberapa hari ketika itu disempurnakan dengan baik oleh Dato’ Hamdi. Dia adalah pelakon utama yang sebenar. Begitulah yang dilaporkan di merata media maya.


Ringkas cerita, salah seorang daripada 5 pemimpin dan bekas pemimpin UMNO Beruas ini akan jadi tandingan Dr. Khairudin dalam pilihanraya yang dah semakin dekat.

Oleh kerana nama calon yang sebenar hanya akan diketahui di saat akhir sebelum hari penamaan calon maka semua yang bercita-cita masih boleh menaruh harapan. Masing-masing nampaknya terus berusaha gigih untuk terpilih. Pasukan penyokong setia terus menghebahkan kelebihan boss masing-masing. Memang menarik cuaca politik UMNO Beruas sekarang ini.

Kem Dato’ Manaf Hashim ditunjangi oleh Cikgu Azman Noh (Naib Ketua Bahagian), Mokhali Mohd Noor (AJK Bahagian), Cikgu Azizi (AJK Bahagian), Ariffin Jaafar (AJK Bahagian), Abd Manaf Layman (Ketua Kampung Tebuk Yan), Cikgu Badrul (Gunung Tunggal), Mustafa Yawaris (Beting Luas), Razali Mat Nayan (Akauntan MPM), Anuar Busu (Ketua Kampung Tengah) dan beberapa orang bekas AJK Pemuda di era Dato’ Manaf mengetuai pergerakan itu.

Kem Datuk Azhar Ahmad dibarisi oleh Ishak Ismail (Ketua Kampung Matang Kerian), Ahmad Wanchih (AJK Bahagian / Ketua Kampung Panchor), Mustafa Yon (Ketua Cawangan Tanjung Burung) dan beberapa orang Ketua Kampung yang asalnya dari kem Dato’ Hamdi.

Kem Mohamad Ali Mansor disertai oleh Ali Zainal Abidin (Ketua Pemuda Bahagian), Asma Zaki Mohd Saleh (AJK Bahagian / Naib Ketua Pemuda), Mohamad Kamal Majid (AJK Pemuda Bahagian), Kamal Husein (Ketua Cawangan Parit Amarikan), Abd Kadir Salleh (Ketua Kampung Sungai Batu, Cikgu Halim (Matang Acheh) dan bekas AJK Pemuda yang sezaman dengannya.

Kem Dato’ Hamdi dianggotai sebahagian veteran UMNO Beruas termasuk Zainal Abidin Mustafa (AJK Bahagian / Ketua Kampung Pengkalan Baru), Omar Sharif (AJK Bahagian / Ketua Kampung Tanjung Ara, Hasan Ismail (Ketua Kampung Matang Acheh), Ahmad Shukri Ismail (Ketua Cawangan Kampung Indah) dan beberapa orang bekas ketua kampung.

Persaingan 5 penjuru ini memang sengit. Macam-macam janji dan harapan didendangkan. Rekod pencapaian boss masing-masing dihebahkan sedaya mungkin. Cacat cela pesaing didedahkan semahu-mahunya. Sebahagian daripada peluru yang ditembak oleh 5 kem yang bersaing ini nampaknya macam fitnah. Ada yang berfakta, ada yang kabur.

Serang menyerang ini sudah bermula sejak lama. Modus operandinya pun agak menarik iaitu menjadikan laman blog penyokong Pakatan Rakyat sebagai medan pembongkaran. Konon-kononnya ini mainan politik PAS-PKR-DAP.

Sebahagian daripada tembakan meriam antara 5 kem ini boleh dibaca di laman web berikut:

Yang ini tak suka Dato’ Manaf. Pilihannya ialah Cikgu Azman Noh.


Cikgu Azman dan Cikgu Azizi kena hentam.


Suara anti Dato’ Manaf dan Datuk Azhar – perhatikan komen di bahagian bawah artikel:


Yang ini anti kem Dato’ Manaf. Ada cerita ‘cinta terlarang’. Ada cerita projek MAYANG. Ada cerita SPM Gred 3 dan tak lulus matematik tapi dapat masuk maktab. Fuh!







Kisah Dato’ Hamdi dan Kelab ICC. Ada cerita Jack Pot. Ada cerita PA tersayang. Macam-macam.


Pegawai Kanan Jabatan Hutan ditangkap oleh SPRM. Duit cash ada ratusan ribu. Sijil saham bernilai jutaan ringgit. Sembang-sembang dalam DUN Pengkalan Baru mengaitkan kes ini dengan Datuk Azhar. Empat kem yang menentang Datuk Azhar bercerita panjang tentang ‘mewah’nya kehidupan Pegawai Khas MB itu. Ada cerita Toyota Harrier. Ada cerita Mini Cooper. Ada cerita lot bungalow di Ipoh untuk adik-adik tercinta. Ada cerita ladang sawit di Sumatera. Macam-macam ada!



Ini bukti Dato’ Hamdi masih nak jadi calon pilihanraya. 3 YB termasuk Dato’ Hamdi menafikan laporan TV yang melaporkan mereka mahu berundur (tak mahu bertanding lagi dalam PRU13). Maknanya, masih mahu bertanding!


9:39:00 PTG | 10 ulasan | Baca sepenuhnya

UMNO = Brahma Menipu Paria Celaru

Written By marhain jelata on 20 Mac 2012 | 9:19:00 PTG

Artikel ini dipaparkan dalam blog Jeritan Minda Politik Malaysia pada 14 Februari 2009.

Menyelami Fikrah UMNO ....

Apa sebenarnya yang ada dalam pemikiran ahli dan penyokong UMNO? Kepercayaan apa yang terpasak dalam hati mereka? Adakah benar mereka menyokong UMNO kerana menjiwai idealisme perjuangan bangsa? Benarkah akal dan kalbu mereka sebati dengan fahaman kebangsaan (nasionalisme)? Benarkah mereka bangga dan kasih kepada bangsa mereka sehingga sedia berenang di lautan api dan sanggup bertempur hingga ke titisan darah yang terakhir demi memartabatkan ketuanan bangsa iaitu ketuanan Melayu?

Kajian ini amat penting jika kita serius mahu menganjak persepsi dan merobah hala-tuju bangsa Melayu dalam hal dan urusan politik.

Melayu yang dari awal lagi sudah UMNO memang sukar dirobah pendiriannya. Melayu remaja dan muda yang terdedah kepada dunia maklumat pun masih terus ada yang mengisi borang permohonan keahlian UMNO. Melayu yang pernah menyertai parti politik lain (PAS, PKR, HAMIM, BERJASA dan lain-lain) juga ada yang kini menyertai atau menyokong UMNO.

Pesaing utama UMNO di pasaran politik bangsa Melayu sejak pra-merdeka hingga kini ialah PAS. Keahlian PAS terus meningkat. Anak muda Melayu yang berpelajaran lebih cenderong memilih PAS. Sejak DS Anwar Ibrahim meninggalkan UMNO, ramai belia dan pemuda berpelajaran memilih PKN dan kini PKR sebagai wadah politik. Namun UMNO masih ada daya untuk terus berkayuh. Pewujudan Putera dan Puteri UMNO berhasil juga memberi nafas bonus kepada UMNO. Dua sayap baru ini menjadi sumber bagi Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO untuk merekrut keahlian. Gelanggang tempur politik ini masih imbang kekuatan antara peserta-pesertanya.

Kenapa Melayu UMNO masih mahu kekal dengan UMNO? Apa yang ada dalam UMNO?

Sesungguhnya tiada idealisme apa pun yang dijiwai oleh pemimpin UMNO atau ahli biasanya. Nasionalisme atau semangat kebangsaan Melayu telah lama hilang dari kamus dan diari perjuangan UMNO. Hakikat sebuah 'perjuangan' itu pun sebenarnya sudah pupus. Ketuanan Melayu hanya ada di mulut pemimpin UMNO tapi tiada di fikiran dan jauh sekali di hati. Melayu di tangan UMNO sudah lama hilang martabat sebagai 'tuan'. Melayu UMNO tahu betapa Melayu bukan lagi tuan di Tanah Melayu. Namun mereka tak mahu menginsafi bahawa Melayu hari ini hanya tuan di mulut tetapi tidak di mata dan di hati.

Bahasa yang kononnya jiwa bangsa itu pun diterajang oleh pemimpin-pemimpin besar UMNO dengan memaksakan PPSMI. Pemimpin kecil dan ahli UMNO angguk saja. Mujurlah akhirnya UMNO kelihatan mahu menimbang semula untuk menarik balik keterlanjuran itu setelah bertahun-tahun Melayu PAS, Melayu PKR, Melayu NGO dan Melayu karyawan membangkang polisi itu.

UMNO juga gagal mempertahankan budaya bangsa Melayu, malah istilah budaya itu sendiri pun gagal difahami. Budaya dari sudut pandang UMNO hanya berkisar pada laku seni dan libur. Budaya yang dimartabatkan oleh UMNO hanya berlegar di medan nyanyi, tari, lakon dan pementasan klasik seumpama Mak Yong dan Menora. Kerana sudut pandang itulah maka kementerian yang menguruskan budaya cuma diberi tugas yang berkisar di FINAS, Istana Budaya dan industri perfileman selain dari sedikit tanggungjawab berkaitan warisan sejarah.

Budaya Melayu yang sebenarnya adalah pada seluruh prinsip dan nilai kehidupan bangsa kita bertunjangkan aqidah Islam sebagai sistemnya. Budaya Melayu itu adalah pada sopan santun keperibadian, keprihatinan bertolong-tolongan, kerukunan hubungan bermasyarakat, kesanggupan berkorban harta dan nyawa demi keyakinan, kegigihan meneroka kejayaan dan pelbagai keazaman murni yang hebat belaka.

Mana satu budaya Melayu yang berjaya dimartabatkan oleh UMNO? Budaya Balck Metal? Budaya buang anak? Budaya hisap dadah? Budaya tukar agama? Budaya jantan betina berpeleseran dan bersekedudukan? Budaya beri dan minta rasuah? Budaya bolot harta rakyat? Budaya berebut pangkat? Budaya ugut? Budaya buta Quran? Budaya rempit?

UMNO selamanya menafikan pertanggungjawaban mereka atas kehancuran jati diri anak bangsa seperti yang dinyatakan ini. UMNO menyalahkan ibubapa yang mendidik dan guru-guru yang mengajar. UMNO tak mahu menginsafi betapa puncanya ialah persekitaran busuk yang mereka sediakan melalui dasar yang diperkenalkan sejak merdeka. Namun begitulah mentaliti UMNO!

Baki nyawa UMNO yang masih liat itu berdenyut dalam diri ahli UMNO di peringkat cawangan. Di level itulah UMNO bertapak teguh. Pemimpin UMNO yang tak menggalas sebarang wawasan bangsa itu tetap dapat bersinggahsana di tampuk kuasa dengan sokongan, kerja dan undi ahli UMNO peringkat cawangan. Panglima dan pendekar UMNO level cawangan yang 'agi idup agi ngelaban' itu adalah kelompok yang tak mungkin sampai kemana-mana dalam hiraki UMNO tapi merekalah nyawa sebenar UMNO.

Kenapa mereka begitu setia?

UMNO level itu kekal setia kerana masih percaya bahawa parti mereka adalah wadah bangsa dan pemimpin mereka adalah pejuang bangsa. Mereka percaya bangsa Melayu sedang terancam. Bangsa lain sedang melangkah untuk merampas hak Melayu. Ketuanan Bangsa @ Ketuanan Melayu sedang digugat. Parti Melayu tulen hanyalah UMNO. Maka sebagai anak Melayu "aku wajib bersama UMNO demi mempertahankan ketuanan, kedaulatan dan hak bangsa'. Melayu jenis ini pasti melompat marah jika UMNO dipertikai apatah lagi dihina.

Melayu UMNO level paling bawah tapi paling ramai jumlahnya ini yakin bahawa tanahair merdeka ini adalah hasil mahsul perjuangan UMNO. Tanpa UMNO tiadalah merdeka. Maka membenci UMNO adalah kufur nikmat manakala menentang UMNO adalah khianat. Mereka mengakui UMNO ada salah dan silap tapi meninggalkan UMNO tetap tak patut. Salah silap dalam UMNO perlu diperbetulkan dari dalam UMNO sendiri. Sejarah perjuangan UMNO memerdekakan negara tak harus dilupakan begitu saja. Bumi mana tak ditimpa hujan? Dek kerana itu, sebusuk mana sekalipun UMNO, ia tetap wadah kebanggaan bangsa yang mesti dipertahankan. Aduh!

UMNO level ini juga amat sentimental dengan sekupang dua yang pernah dihulurkan oleh kerajaan UMNO sepanjang hidup mereka. Sekupang dua bantuan dan sekangkang dua kangkang tanah yang diterima itu tersemat kukuh sebagai 'jasa' UMNO yang wajib dikenang dan di balas.

"Semua orang ada baik dan ada buruk. UMNO ada baik dan buruk. PAS ada baik dan buruk. PKR ada baik dan buruk. Seburuk manapun UMNO, baiknya tetap ada. Yang baik itu kita nak buang ke mana? PAS bagus tapi hal apa yang PAS pernah berjasa kepada kami? PKR baru berapa tahun saja umurnya. Tak payah tanyalah tentang jasa!" Begitulah kenyataan sebenar seorang ahli UMNO level ini yang pernah jadi ketua pemuda UMNO cawangan 20 tahun dulu.

Pemimpin UMNO boleh diiktiraf berjaya men'doktrin'kan dalam jiwa Melayu level paling bawah ini tentang 'jasa-setia-kenang-balas' yang mereka projekkan dengan belanja besar. Media elektronik, media cetak, BTN, JASA, JAKIM, IKIM dan sekelian jentera yang berkaitan telah melaksanakan tugas dengan baik. Rakyat yang sekolah sikit-sikit sahaja dan kemudiannya jadi ahli UMNO memang beraqidah sungguh-sungguh dengan rukun 'jasa' ini. Aduh!

Kalau di India dulukala darjat paling tinggi ialah Brahma dan paling rendah bernama Paria. Bila-bila pun si Brahma akan memperkuda si Paria. Titah Brahma titah keramat. Darjat Paria wajib mengiakan segalanya. Benar atau palsu bukan soalnya. Begitu jugalah jadinya dengan UMNO. Titah pemimpin besar UMNO umpama wahyu kerana mereka telah berjaya mem'brahma'kan diri mereka. UMNO level cawangan telah di'paria'kan oleh brahma Presiden, brahma Timbalan, brahma Naib dan brahma MT. Pemimpin UMNO Bahagian pun kadang-kadang nak jadi brahma.

Banyaklah wahyu dan sabda Brahma UMNO yang tersemat kukuh difikiran dan jiwa UMNO Paria. Kerana wahyu dan sabda itulah maka PAS kekal ekstremis di mata paria. PKR hanya demi Anwar. DAP komunis. Pakatan Rakyat ganas. Pilih PAS mundur. Pilih PKR, hilanglah ketuanan bangsa. Undi Pakatan Rakyat, DAP yang jadi raja. Undi DAP masuk neraka. Undi DAP merempatlah bangsa.

Kesimpulannya, kalau kita serius nak membina Malaysia baru yang bebas daripada politik rasuah dan budaya C4 maka kita mesti mencari jalan untuk memecahkan tembok minda Melayu UMNO level paling bawah ini. Kita mesti suluh jalan dan bimbing tangan mereka. Kekudusan brahma UMNO dalam minda paria mesti dihancurkan dengan C4. Peduli apa? Nanti biar Sirul yang tanggung akibatnya!
9:19:00 PTG | 1 ulasan | Baca sepenuhnya

Kisah Silam PAS Beruas - Pejuang Kecil Yang Berjiwa Besar

Catatan ini dimuatkan dalam blog Jeritan Minda Politik Malaysia pada 9 April 2009.

Sambil meng'edit' catitan, laporan dan foto PRK059 aku teringat politik aku lebih 30 tahun dulu. Waktu itu kampung aku belum ada bekalan elektrik. Nak tengok TV yang guna bateri kereta, kena beratur di pintu rumah cikgu Ramli. Bayar sekupang baru boleh masuk menonton. Dua tiga minggu sekali mak aku bagi izin tengok TV. Aku masih di sekolah rendah yang tak ada bekalan elektrik. Mandi air telaga bawah gon belakang rumah. Hampir waktu maghrib cucuh pelita katak atau pelita cempeni guna minyak tanah. Hidung gerenti berjelaga.

Di kampung aku ada dua tiga belas orang PAS termasuk aku yang belum bersunat. Semua pejuang-pejuang itu dah lama meninggalkan aku nun jauh di alam baqa'. Waktu itu, seminggu sekali pejuang-pejuang itu adakan usrah dari rumah ke rumah. Usrah zaman itu lebih kurang macam kuliah zaman ini. Kadang-kadang macam ceramah kelompok. Aku jadi pekerja tetap menghidang kopi dan santapan ringan. Tiap-tiap minggu bertahun-tahun. Seingat aku, masa aku di asrama sekolah menengah malah ketika aku dah di universiti, usrah dari rumah ke rumah itu masih berjalan.

Hari ini ahli PAS di kampung aku jumlahnya 311 orang. Kalau dicampur dengan penyokong yang tak daftar keahlian, jumlah kasarnya melebihi 500 orang. Kampung-kampung berdekatan agak slow sikit perkembangannya. Tapi banyak kampung yang asalnya tak ada ahli PAS, empat lima tahun kemudian dah boleh tubuh cawangan. Makin lama makin banyak cawangan.

PAS dah bertanding di tempat aku dalam pilihanraya umum sebelum aku reti baca abc lagi. Yang ada dalam ingatan aku hanya bermula pada PRU 6 tahun 1978. PAS bertanding kerusi DUN dan Parlimen. Aku yang masih kemetot bersama dua tiga orang kawan sebaya dilantik jadi petugas menampal poster. Masak tepung ubi kayu buat gam. Cabut empulur sabut nyior jadikan berus. Berjalan malam dalam gelap tampal poster di merata batang pokok nyior. Kena jerkah dengan UMNO tua. Keputusannya PAS hilang deposit. Dapat beberapa ratus undi sahaja.

Waktu itu kenderaan semua pejuang kampung aku hanyalah basikal. Dengan kenderaan itulah mereka bergerak dalam lingkungan 20-30 km radius. Aku jadi pembonceng setia. Nak mesyuarat jauh sikit kena naik bas. Surat menyurat semua dengan tulisan tangan. Kadang-kadang pinjam mesin taip Pak Mat Pistol. Usrah terus berjalan. Ahli terus bertambah. PAS terus kalah dalam PRU 7 (1982), 8 (1986), 9 (1990), 10 (1995) dan 11 (2004). Dalam PRU12 tahun lalu (2008) PAS masih kalah tapi majoriti tinggal 14 undi sahaja. Aku tersandar di tepi longkang depan pusat penjumlahan undi kerana angka 14 itu. Majoriti paling kecil dalam Malaysia. Mudah-mudahan ketika PRU13 nanti atau pilihanraya negeri selepas DUN bubar tak lama lagi, PAS diberi kemenangan sulung di tempat aku. Kalau aku masih bernafas di saat kemenangan itu, mungkin akulah manusia paling gembira dalam dunia.

Tribute to all pejuang-pejuang kecil kampung aku. Aku yakin mereka kini aman disisi Allah dengan rezki yang dijanjikanNya. Pak Teh Jaafar, Pak Mat Pistol, Cikgu Johor, Pak Lang Dod, Cikgu Haris, Pak Teh Che' Amat dan Tok Lebai Lah masih segar dalam ingatan aku. Aku peluk cium jenazah Ayah Da Ustaz Saad dua tahun yang lalu. Ayah Da adalah setiausaha pertama PAS ranting kampung aku pada penghujung tahun 50an sebaris usia penubuhan PAS sendiri. Ayah Da kekal istiqamah dari zaman jalan kaki hingga zaman kapal terbang membawa ke hembusan nafas terakhirnya. Aku dapat rasakan kesyahidannya ketika memandang wajahnya dan mencium dahinya yang dah jadi jenazah. Takbir!

Begitu juga pejuang kecil dari dalam rumah aku. Bagi aku dia pejuang besar kerana aku terlalu mengenali jiwanya sejak aku masih kecil. Ketika PRU 1978 dan 1982, pejuang kecil ini keluar rumah waktu aku belum bangun dari tidur, dan pulang ke rumah waktu aku telah pun tidur. Kadang-kadang tak balik dua tiga hari malah pernah sampai seminggu kerana menunaikan tanggungjawab perjuangan.

Ketika uzur lewat usia pertengahan enam puluhan, pejuang kecil ini masih bergelut dengan agenda pendidikannya disamping membimbing arah tuju pejuang-pejuang baru. Dua hari sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, semangat pejuang kecil ini masih berkobar-kobar. Aku dipanggil bermesyuarat dua orang. Aku dan dia sahaja. Mengemaskini blueprint pusat tarbiyyah yang mula dibangunkannya tiga tahun sebelum itu. Pukul tujuh petang, tujuh jam sebelum ajal, di pertemuan terakhir dua insan, aku dan dia, perkataannya masih soal perjuangan. Pesanannya masih tentang jamaah dan dakwah sedangkan matanya sudah jauh merenung kehidupan abadi yang bakal bermula sebentar lagi. Pejuang kecil berangkat ke Kuala Lumpur untuk hadir menyaksikan anak bongsu menerima ijazah di UIA. Sebaik kenderaan yang membawa pejuang kecil hilang dari pandangan aku, hati aku dah bersedia menerima dia pergi untuk selama-lamanya. Lidah dan mulut aku bercerita kepada kawan-kawan dan sanak saudara bahawa nampaknya macam pejuang kecil dah siap berangkat pergi bukan hanya ke Kuala Lumpur tapi ke destinasi kekasihnya yang abadi. Pukul 2 pagi, malaikat datang menjemputnya. Bila telefon berdering pukul 5 pagi, air mata aku dah berderai sebelum sempat mengangkat gagang. Duhai pejuang! aku dapat merasakanya sejak petang tadi. Selamat berkelana!

Aku memandikan jenazah yang kuning berpeluh itu dengan rayuan dulu kini dan selama-lamanya ... Ya Allah tempatkanlah roh si mati ini bersama syuhada' dan solehin.

Engkau tidak mati wahai pejuang kecil! Disisi Allah rezkimu melimpah ruah. Aku datang ke dunia ini melalui tulang sulbimu duhai ayahanda. Aku bangga jadi anakandamu!

klik di sini untuk baca Nostalgia PAS Beruas
8:52:00 PTG | 2 ulasan | Baca sepenuhnya