Nostalgia PAS Beruas

Written By marhain jelata on 19 Jun 2008 | 4:44:00 PG

PAS Beruas mungkin kerdil di mata pengamat politik di seluruh pelusuk negara. Tiada nama besar dari Beruas yang pernah menjadi tokoh PAS negeri apatah lagi PAS Pusat. Tiada peristiwa besar politik yang pernah melibatkan PAS Beruas sepanjang sejarah politik negara. Di sebalik itu semua, PAS Beruas tetap istimewa. Cahaya perjuangan telah lama bertapak di sini dan terus mengharung pahit getir jatuh bangun perjuangan agama ini sepanjang zaman.

Menurut catatan sejarah PAS yang terkandung dalam buku Muktamar Tahunan PAS Pusat 1997, PAS Beruas merupakan salah satu daripada empat ‘PAS Kawasan’ yang terawal ditubuhkan di Malaysia.

Lahirnya di kampung Sungai Batu dengan nama resmi PAS Ranting Sungai Batu. Ketua pertama PAS Beruas ialah Almarhum Tuan Guru Hj Ishak (Batu 17). Pentadbiran organisasi dipimpin oleh Almarhum Ustaz Haji Mohd Saad Abdullah (Sungai Batu) selaku Setiausaha pertama. Ustaz Saad kekal bersama beberapa generasi penggerak PAS Beruas sehingga akhir hayatnya pada tahun 2007. Bendahari pertama ialah Almarhum Haji Yusof (Pantai Remis) yang telah mewariskan kepada warga Pantai Remis anak cucu yang hebat memimpin urusan agama. Ustaz Haji Azahari, Ustaz Haji Ismail dan Ustaz Haji Abdul Rahim adalah putera Haji Yusof yang masih berbakti hingga kini. Warisan ilmu itu disambung oleh cucunda beliau termasuk Ustaz Kamil, Ustaz Abdul Hadi, Ustaz Kamal dan Ustaz Badri.

Tokoh-tokoh pejuang PAS Beruas di zaman awal itu termasuk Haji Zainudin Ibrahim (Jalan Sitiawan, Beruas) yang masih berbakti hingga ke hari ini, Cikgu Johor (Batu Hampar), Haji Adnan Yusof (Trong), Ustaz Jaafar Puteh (Sungai Batu), Cikgu Haris (Beruas), ayahanda Mohamad Darus(Sungai Batu) dan Ustaz Mohd Ali (Sungai Batu).

Selain daripada mereka yang bergelar pemimpin itu, ramai lagi yang sama berganding bahu menunaikan tanggungjawab walaupun sekadar jentera bawahan. Ayahanda Ishak Man (Pak Lang Dod - Kg Tengah Panchor) di penghujung usianya beberapa tahun yang lalu sering menceritakan pengalaman generasi awal PAS yang berjuang dalam serba serbi kekurangan. Ketika itu AJK yang tinggal di sekitar Pantai Remis (Sungai Batu hingga Panchor) berulang-alik berjalan kaki ke Beruas sejauh 30 km untuk bermesyuarat. Jalan ke Beruas waktu itu perlu merentas kawasan hutan yang masih mungkin bertembung dengan binatang buas termasuk gajah liar.

Dalam serba kekurangan itu, PAS Beruas tetap tabah memikul tanggungjawab da’wah dan politik. PAS Beruas menyertai pilihanraya umum sejak awal merdeka (maklumat lengkap penyertaan dalam pilihanraya sebelum 1982 sedang diusahakan). Pada tahun 1982 PAS bertanding di tiga kerusi iaitu Parlimen Beruas (Zulkifli Abas), DUN Pengkalan Bharu (Ustaz Jaafar Puteh)dan DUN Pantai Remis (ayahanda Mohamad bin Darus). Pada tahun 1986 PAS bertanding di Parlimen Beruas (Cikgu Hasan) dan DUN Pengkalan Bharu (Ustaz Hatta). PAS memberi laluan kepada Dato’ Hj Abdul Malik daripada parti Semangat 46 untuk bertanding mewakili Angkatan Perpaduan Ummah di DUN Pengkalan Bharu pada pilihanraya 1990. Pada tahun 1995, sekali lagi PAS memberi laluan kepada calon Parti S’46, Cikgu Kamarudin Awang Teh. PAS kembali beranding di DUN Pengkalan Bharu pada tahun 1999 dengan mencalonkan Ustaz Hisham Mohd Ali. Pada tahun 2004 Parti Keadilan Nasional diberi mandat bertanding melalui calonnya Cikgu Kamarudin Awang Teh. Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Haji Abu Bakar Hussin bertanding di DUN Pengkalan Bharu pada pilihanraya 2008 dan tewas dengan majoriti hanya 14 undi. Kekalahan tipis ini memberikan keyakinan untuk mengusahakan kemenangan dalam pilihanraya umum ke 13 nanti.

Pentadbiran PAS Beruas sebelum 1982 hanya beroperasi di rumah pemimpin-pemimpin PAS Kawasan kerana tiada bangunan milik parti. Markaz PAS di kampung Sungai Batu adalah premis pertama dibangunkan oleh Pas Beruas sebagai pejabat pentadbiran dan pusat aktiviti. Nama-nama di sebalik pembinaan bersejarah itu ialah Ustaz Jaafar Puteh, Ustaz Haji Mohd Saad, Ustaz Mohd Ali, Ayahanda Mohamad Darus, Ayahanda Ahmad (Pak Teh Che’ Amat), Ayahanda Ahmad (Pak Long Mat Tebuk Yan), Ayahanda Ibrahim Ismail (Pak In Tebok Yan) dan Ustaz Abd Aziz Osman. Di markaz ini juga lah dimulakan kelas pendidikan pra sekolah (PASTI) pada tahun 1987 atas inisiatif utama Almarhum Ustaz Haji Mohd Saad. Kalungan penghargaan kepada pemuda Pantai Remis yang mengusahakan penyempurnaan bangunan pada tahun 1995. Seterusnya dibangunkan Musolla Taqaddum al-Umam di kampung Simpang Tiga Sungai Tuntung atas dayausaha Ustaz Mohd Ali Abdul Rahman. Musolla ini menjadi pusat aktiviti yang lebih selesa justeru saiznya yang lebih besar. Pada tahun 1997, PASTI Darul Ghuroba’ dibina di kampung Pengkalan Bharu atas daya usaha Zulkaflee Hashim, Tuan Sulong Engku Abas, Almarhum Pak Mat Beruang (maaf kerana hilang maklumat nama sebenar), Zailani Yahya, Darus Mohamad, Abdul Razak Din, Jusoh Chik dan Ustaz Husin. Almarhum Pak Mat menghembuskan nafas terakhirnya beberapa bulan setelah jatuh selepas menebang pokok kelapa di perkarangan bangunan ini. Mudah-mudahan Pak Mat digolongkan bersama syuhada’ di sisi Rabbul Jalil. Bangunan PASTI Jalan Sitiawan dan PASTI Panchor menyusul selepas itu. Menjelang pilihanraya 1999, PAS cawangan Kampung Tengah Beruas juga telah membina markaz sebagai pusat aktiviti yang resmi. Yang terakhir, markaz Batu 16 Ayer Tawar dibina pada tahun 2007.

0 ulasan:

Catat Ulasan