Saya (admin blog pasberuas) menerima pelbagai cadangan daripada penduduk kawasan Parlimen Beruas untuk dikemukakan kepada pemimpin parti dan pemimpin organisasi kampung yang akan dibentuk iaitu ketua kampung dan JKKK.
Hasrat dan harapan mereka tinggi menggunung. Terlalu banyak yang amat mereka ketahui tentang kelemahan dan kepincangan pengurusan kampung di era UMNO/BN. Sebanyak itu jugalah mereka mengetahui tentang janji dan azam yang sekian lama ditawarkan oleh parti-parti Pakatan Rakyat khususnya PAS.
Kini mereka sedang menunggu dan memerhati dengan penuh harapan. Tertunailah hendaknya gagasan kemakmuran dan keadilan yang dijunjung selama ini.
Aduhai bakal ketua kampung dan JKKK, dengarlah rintihan dan rayuan kami! Ketua kampung dan JKKK kami ialah:
1. Pemimpin yang sentiasa mudah didekati. Mesra dan sedia mendengar cadangan, aduan, rintihan dan pendapat kami.
2. Pemimpin yang berusaha keras membimbing kami untuk hidup beriman, maju, berdaya saing dan berkasih sayang antara satu dengan yang lain.
3. Pemimpin yang sentiasa mengambil tahu atau mengambil berat keadaan kami. Hidup atau mati, sihat atau sakit, senang atau susah, kaya atau miskin, bijak atau bodoh. Mati kami diuruskan, sakit kami dirawat, susah kami dibantu, bodoh kami diajar.
4. Pemimpin yang hebat dan indah tutur katanya. Perkataan yang lunak disambut telinga, perkataan yang memotivasi diri kami, perkataan yang menambah harga diri kami, perkataan yang mendamaikan antara kami dan perkataan yang mendekatkan kami kepada Tuhan. Bukan perkataan yang melukai gegendang telinga kami, bukan perkataan yang membunuh semangat kami, bukan perkataan yang menelanjangkan kekurangan kami, bukan perkataan yang menyemarakkan kebencian antara kami, bukan perkataan yang membawa kami ke lembah dosa, bukan berbaur ego, bukan perli, bukan memperlekehkan kami, bukan menggula-gulakan kami.
5. Pemimpin yang jauh pandangannya, besar wawasannya, teliti langkahnya, bermaklumat hujjahnya dan realistik rancangannya.
6. Pemimpin yang benar-benar milik rakyat. Berbincang dan bermesyuarat adalah budayanya. Bukan autokratik, bukan diktator, tiada veto dan bukan ‘one man show’.
7. Pemimpin yang serius menyalurkan maklumat. Bukan menyembunyi atau menapis maklumat. Kami mendapat tahu apa yang pemimpin tahu. Kami juga tahu apa yang kawan rapat pemimpin tahu. Kami juga tahu apa yang keluarga pemimpin tahu. Tiada insentif yang terlindung, tiada peluang yang disekat, tiada skim yang terhalang dan tiada peruntukan yang terhad dibolot.
Ayuh pemimpin kami! Jika tuan bagai dikata, jiwa dan raga galang ganti sokongan kami!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan