Tazkirah 3 - Penyelewengan Di Jalan Da'wah

Written By marhain jelata on 27 Mei 2008 | 8:56:00 PTG

Jalan da'wah adalah jalan yang terang 'petunjuk' dan 'panduan'nya serta jelas matlamatnya, namun seorang yang berjalan di atasnya sentiasa terdedah kepada penyelewengan yang boleh memesongkannya dari perjalanan yang sahih. Penyelewengan boleh berlaku apabila penda'wah itu telah menyimpang dari jalan sebenar atau telah mengubah niatnya. Penyelewengan selalu terjadi kerana keghairahan yang melampau berasaskan pertimbangan peribadi, terutamanya apabila kita bersangka bahawa semua yang berminat untuk beramal di jalan da'wah ini adalah orang yang sememangnya benar, bersungguh-sungguh dan ikhlas. Hakikatnya, ramai peserta di medan da'wah ini adalah orang yang hanya bersimpati dengan apa yang mereka dengar dan lihat tentang pelbagai penindasan, gangguan, siksaan dan pembunuhan ke atas pembawa bendera da'wah sebelum mereka.

Oleh itu kita mesti mengingatkan petugas-petugas da'wah ini supaya tidak tergelincir dan tidak menyeleweng hanya kerana kekurangan pengetahuan dan maklumat yang sahih tentang jalan da'wah sebenar. Peringatan ini amat perlu supaya langkah mereka tepat dan pendirian mereka betul agar mereka dapat memperbaiki urusan mereka sendiri sebelum memperbaiki urusan orang lain. Sesungguhnya penjagaan dan pemeliharaan lebih baik daripada mengubati sesuatu penyakit.

"Dan bahawa (yang kami perintahkan) ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutlah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan itu akan mencerai-beraikan kamu dari jalannya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu." Al-An'am 153.

"Katakanlah (wahai Muhammad) inilah jalan (agama)Ku. Aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak kamu kepada Allah dengan hujjah yang nyata. Maha suci Allah dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik." Yusuf 108.

Penyelewengan di jalan da'wah ini biasanya berlaku disebabkan faktor-faktor berikut:

- kekosongan jiwa agama
- kedangkalan ilmu agama
- tiada atau kurang tarbiyyah
- budaya 'ibahiyah' iaitu budaya mengharuskan semua perkara
- berleluasanya keraguan dan syak wasangka dalam hal aqidah
- hilangnya batas syara' dalam strategi jamaah

Ilmu dan Penyelewengan

Tempat tergelincir yang paling merbahaya ialah fitnah ilmu. Kadangkala penda'wah yang mencari ilmu akan mendapat serba sedikit ilmu lalu merasakan telah berlaku perubahan besar dalam dirinya. Penda'wah itu menjadi kagum dan silau matanya dengan sinaran ilmu dan ma'rifah yang sedikit hasil pengajian dan kitab yang dibacanya. Dia yakin bahawa ilmu yang telah diperolehinya itu memang banyak lantas menyangka bahawa dirinya telah cukup berkemampuan untuk beristinbat dan mengeluarkan hukum. Dia sering berpegang dengan teguh kepada sebab-sebab lahiriah sesuatu dalil tanpa mempunyai pengetahuan mengenai kaedah-kaedah menggunapakai dalil-dalil itu. Dia mudah terpedaya dengan ilmunya lalu menganggap dirinya umpama mujtahid sehingga berani menghukum apa juga keadaan yang melintasi di depannya.

Salafussoleh menyatakan "orang yang paling berani menghukum dan berfatwa ialah orang yang paling sedikit ilmunya."

Cara untuk memelihara diri daripada penyelewengan itu ialah dengan menuntut ilmu tanpa mudah terpedaya dan tidak melewati batas. Bentuklah diri supaya sentiasa merasa bahawa apa yang telah kita tahu hanyalah lebih baik daripada keadaan tidak tahu sebelumnya. Wajar diingat bahawa sesiapa yang mengaku dan merasakan dirinya telah mengetahui, maka dia telah menjadi jahil.

"Sesiapa yang menganggap dirinya pandai maka dia telah menjadi bodoh." Mustafa Masyhur, ToriqudDa'wah.

Seterusnya cantumkanlah ilmu dengan amal. Jangan terlalu berani mengeluarkan fatwa dan menghukum sesiapa pun. Penda'wah mesti sentiasa berlapang dada menerima pandangan dan idea yang sahih dan benar tanpa menutup diri dan membekukan aqal dengan kefahaman yang cetek dan terbatas. Penda'wah mesti meletakkan manusia dan menilai mereka menurut tahap mereka yang pelbagai dan berbeza.

Semoga Allah memberi rahmat kepada orang yang mengenali kadar dan tahap dirinya.

0 ulasan:

Catat Ulasan