MENGAPA SERTAI PAS (SIRI 2 - DALIL 11-18)

Written By marhain jelata on 27 Februari 2011 | 4:27:00 PG

Dalil 11:

من خرج من الطاعة وفارق الجماعة فمات مات ميتة جاهلية٠

“Sesiapa yang keluar daripada ketaatan dan meninggalkan jamaah, lalu dia mati (dalam keadaan itu), maka matinya adalah mati jahiliah….”

( Al-Hadith : riwayat Muslim,dalam Sahihnya,
Kitab Al-Imarah, 3:1476-1477, dari Hadith Abu Hurairah )

Dalil 12:

من فارق الجماعة شبرا فقد خلع ربقة الاسلام من عنقه٠

“Sesiapa yang meninggalkan jamaah hanya sejauh sejengkal, maka dia telah melucutkan ikatan Islam daripada lehernya.”

( Al-Hadith : riwayat Ahmad, Sahih Al-Jami’us Soghir, 5:326 )

Dalil 13 dan 14:

Rasulullah SAW juga memberikan amaran berikut:

من مات لم يغز ولم ينو الغزو فمات ميتة جاهلية

“Sesiapa yang mati (sedangkan sepanjang hidupnya) tidak pernah berperang (berjuang di jalan Allah) dan tidak pernah berniat untuk berperang (berjuang di jalan Allah), maka matinya adalah mati jahiliah”.
( Al-Hadith )

من مات لم يغز ولم ينو الغزو فمات على شعبة من النفاق

“Sesiapa yang mati (sedangkan sepanjang hidupnya) tidak pernah berperang (berjuang di jalan Allah) dan tidak pernah berniat untuk berperang (berjuang di jalan Allah), maka matinya adalah mati dalam salah satu cabang nifaq (munafiq)”.
( Al-Hadith )

Keterangan Hadith :

Apabila dikatakan bahawa kematian orang yang tidak berperang (berjuang di jalan Allah) adalah ‘mati jahiliah’ dan ‘mati seorang munafiq’ maka ianya bermaksud orang yang mati itu tidak diiktiraf keIslamannya. Pendek kata, dia bukan seorang Muslim di sisi Allah SWT.

Apa kaitannya dengan Jamaah Islam?

Berperang adalah urusan berkumpulan, sama ada bersama pasukan tentera yang dibentuk oleh negara Islam atau bersama pasukan yang ditubuhkan oleh umat Islam untuk berdepan dengan kezaliman dalam negara yang bukan negara Islam.

Peperangan tidak boleh berlaku dengan tindakan seorang diri. Ia adalah tindakan berkumpulan iaitu secara jama’ie. Dengan kata lain, peperangan adalah urusan Jamaah Islam yang bangkit berdepan dengan kezaliman musuh-musuh Allah SWT.

Orang yang berperang di jalan Allah ialah orang yang menyertai Jamaah Islam. Sebaliknya, orang yang enggan menyertai Jamaah Islam adalah orang yang enggan berperang di jalan Allah. Golongan inilah yang mati dalam keadaan jahiliah dan munafiq.

Apa kaitannya dengan PAS?

Seperti yang telah dinyatakan di sepanjang bab ini, PAS adalah Jamaah yang menepati ciri-ciri Jamaah Islam sebagaimana dinyatakan di dalam Al-Quran dan Hadith.

PAS melaksanakan kerja-kerja amar makruf nahi mungkar dan berdepan dengan golongan yang mengingkari serta memusuhi pelaksanaan Islam yang syumul.

Oleh itu, PAS berada di atas landasan ‘berperang’ ( الغزو ) di jalan Allah SWT, yang juga bermaksud ‘berjuang di jalan Allah’ seperti yang dituntut oleh Hadith ini.

Maka sepatutnya kita bertambah yakin bahawa kita wajib menyertai PAS supaya dapat berada di atas landasan ‘berperang’ di jalan Allah, lalu dengan itu terhindarlah kita daripada mati jahiliah dan mati munafiq. Dengan perkataan lain, kita dapat berada di atas landasan yang menuju ke arah mati sebagai seorang muslim.

Seterusnya di dalam surah At-Taubah, Allah memerintahkan hambanya supaya ‘berangkat’ melaksanakan tugasan pada jalanNya. Ia adalah tugas besar yang menuntut pengorbanan harta dan nyawa. Sekiranya kita meneliti ayat-ayat ini, semakin jelas kelihatan penekanan Allah tentang kewajiban menyertai Jamaah Islam.

Bersama dengan perintah itu, Allah SWT turut memberikan ancaman kepada hamba-hambanya yang enggan menunaikan perintah ‘berangkat’ ke jalanNya itu. Golongan yang ‘enggan berangkat’ itu diancam dengan azab siksa yang bersangatan pedihnya.

Dalil 15 :

يا ايها الذين امنوا ما لكم اذا قيل لكم انفروا فى سبيل الله اثاقلتم الى الارض ارضيتم بالحيا ة الدنيا من الاخرة فما متاع الحياة الدنيا فى الاخرة الا قليل. الا تنفروا يعذبكم عذابا اليما ويستبدل قوما غيركم ولا تضروه شيأ والله على كل شيء قدير

“Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu, apabila dikatakan kepadamu : "Berangkatlah kamu berjuang di jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan lebih suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka kehidupan dunia ini berbanding kehidupan akhirat? (Kesukaan kamu itu salah, kerana) kenikmatan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding (kesenangan hidup) di akhirat kelak. ◊ Jika kamu tidak berangkat (untuk berjuang di jalan Allah - membela agamanya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya, dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
( At-Taubah : ayat 38-39 )

Dalil 16:

.انفروا خفافا وثقالا وجاهدوا باموالكم وانفسكم فى سبيل الله ذلكم خير لكم ان كنتم تعلمون

“Berangkatlah kamu (untuk berjihad pada jalan Allah), sama ada dalam keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dalam keadaan berat (disebabkan pelbagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”
( At-Taubah : ayat 41 )

Kita juga patut bimbang kehilangan status ‘iman’ dan bimbang terjerumus ke dalam golongan ‘fasiq’ akibat keengganan menyertai amal Islami bersama Jamaah Islam. Ayat-ayat berikut amat menggentarkan hati;

Dalil 17:

لا يستأذنك الذين يوء منون بالله واليوم الاخر ان يجاهدوا بأموالهم وأمفسهم والله عليم بالمتقين. انما يستأذنك الذين لا يوءمنون بالله واليوم الاخر وارتابت قلوبهم فهم فى ريبهم يترددون

“Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak turut) berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka, dan (ingatlah) Allah Maha mengetahui siapakah sebenarnya yang benar-benar bertaqwa. ◊ Sesungguhnya yang akan meminta izin daripadamu (wahai Muhammad) – (untuk tidak turut serta berjuang di jalan Allah) hanyalah orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hati mereka (sangat) ragu-ragu, oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguan itu.”
( At-Taubah : ayat 44-45 )

Keterangan ayat :

Allah menegaskan bahawa orang yang beriman tidak mungkin meminta pelepasan daripada tanggungjawab jihad yang menuntut pengorbanan harta dan nyawa ( باموالهم وانفسهم ). Penunaian tanggungjawab itulah yang mengangkat darjatnya ke tahap ‘muttaqin’ (orang bertaqwa).

Seterusnya Allah menjelaskan hakikat manusia yang meminta pelepasan atau mengelak daripada turut serta dalam tugasan jihad. Hakikatnya ialah mereka itu ‘tidak beriman’.

Hakikatnya mereka tidak percaya tentang Allah dan tidak percaya tentang Akhirat - (لا يوءمنون باالله واليوم الاخر ).

Sebenarnya hati mereka ragu-ragu tentang Allah dan lain-lain binaan iman -
( ارتابت قلوبهم ).

Keraguan itulah yang menyebabkan mereka bingung dan teragak-agak untuk menyertai jihad dengan sepenuh komitmen - ( فهم فى ريبهم يترددون ).

Dalil 18 :

قل ان كان أبأوكم وأبنأوكم واخوانكم وأزواجكم وعشيرتكم وأموال ن اقترفتموها وتجارة تخشون كسادها ومساكن ترضونها أحب اليكم من الله ورسوله وجهاد فى سبيله فتربصوا حتى يأتي الله بأمره والله لا يهدى القوم الفاسقين


“Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad di jalanNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada golongan yang fasik (derhaka).”
( At-Taubah : ayat 24 )

Keterangan ayat :

Allah memberi amaran kepada manusia supaya tidak silap menyusun keutamaan tumpuan dalam hidup. Orang yang beriman wajib meletakkan urusan Allah, urusan Rasul dan urusan jihad mengatasi semua urusan kehidupan yang lain, termasuk urusan-urusan yang biasanya menjadi fokus manusia, iaitu;

1. Urusan keluarga.
2. Urusan harta dan perniagaan.
3. Urusan kualiti keselesaan kediaman.

Sekiranya manusia lebih mengutamakan mana-mana urusan ini berbanding tumpuan kepada Allah, Rasul dan jihad – maka layaklah mereka menerima hukuman daripada Allah SWT. Ancaman Allah tentang hukuman ini amat menakutkan, iaitu “tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya)” - ( فتربصوا حتى يائتي الله بامره ). Manusia yang salah fokus ini disifatkan oleh Allah sebagai golongan yang fasiq ( القوم الفاسقين ).

Berdasarkan semua dalil dan hujah ini, maka kita patut insaf bahawa wajib atas diri kita supaya menyertai PAS dan memberikan sepenuh komitmen kepada kerja-kerja Jamaah Islam ini, dalam perjuangan menegakkan Kalimah Allah di negara ini dan seluruh dunia. Insafi wahyu Allah ini;

واصبر نفسك مع الذين يدعون ربهم بالغدوة والعشي يريدون وجهه ولا تعد عيناك عنهم تريد زينة الحياة الدنيا ولا تطع من أغفلنا قلبه عن ذكرنا واتبع هواه وكان أمره فرطا

“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah kamu memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah kamu mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”
( Al-Kahfi : ayat 28 )





1 ulasan:

Pengundi Baharu berkata...

Mereka hebat membaca alquran tetapi tidak melepasi kerongkong mereka. Inilah khawarij. Menggunakan AlQuran dan AlHadith untuk mengajak kepada jamaah khawarij nya... sudah-sudahlah tu PAS. Aljamaah itu bukannya PAS, Aljamaah adalah mereka yg bersama Pemerintah Islam. PAS lawan pemerintah Islam, khawarij la tu. Duduk jadi khaldai DAP boleh lah PAS ni.

Catat Ulasan