Bantuan Aidil Fitri Untuk Warga Miskin - Cukupkah?

Written By marhain jelata on 04 Oktober 2008 | 8:57:00 PTG

Alhamdulillah. Aidil fitri telah disambut. Dalam tempoh seminggu sebelum lebaran Kerajaan PR negeri Perak telah menunaikan tanggungjawab kepada golongan yang kurang bernasib baik. Pelbagai jenis bantuan telah dihulurkan. Sekurang-kurangnya tujuh jenis bantuan atau sumbangan telah berlaku di kawasan Parlimen Beruas iaitu bantuan zakat melalui jawatankuasa masjid, sumbangan Ahli Parlimen, sumbangan ADUN, sumbangan moreh melalui pusat khidmat DUN, sumbangan oleh sektor swasta dan sumbangan oleh PAS cawangan-cawangan.

Khabarnya di kawasan-kawasan lain ada tambahan sumber bantuan iaitu sumbangan oleh PAS Kawasan, sumbangan oleh Majlis Tindakan DUN dan sumbangan oleh dewan-dewan Pemuda/Muslimat.

Kerajaan Persekutuan juga tidak ketinggalan menunjukkan keprihatinan dengan menghulurkan bantuan dan sumbangan melalui Ahli Parlimen, ADUN dan UMNO Bahagian.

Sekali lagi alhamdulillah. Natijah akhirnya ialah keuntungan untuk rakyat. Kalau dulu UMNO sahaja yang ada sumber untuk memberikan bantuan tetapi kini PAS, PKR dan DAP juga dapat membantu. Selayang pandang, aliran sumbangan oleh kerajaan negeri pada tahun ini lebih meluas, lebih nilai dan pastinya penuh ketelusan. Wang atau barangan bantuan tidak lagi bocor di jalanan.

Di sebalik kelainan yang amat menggembirakan itu, semua pihak patut lebih pantas memikir dan bertindak untuk penyelesaian yang lebih tuntas bagi permasalahan kemiskinan ini. Bantuan beberapa ratus ringgit menjelang hari raya tidak mampu mengubah taraf hidup golongan itu.

Kerajaan negeri dan parti-parti Pakatan Rakyat di semua peringkat sewajarnya ada plan yang lebih praktikal untuk membangunkan keupayaan golongan miskin ini sehingga mereka tidak lagi kekal di status itu. Jika ini dapat dilaksanakan, satu masa nanti kita tidak perlu lagi sibuk menyiasat untuk mengenalpasti siapa yang layak diberikan bantuan malah mereka yang pernah dibantu itu pula yang tampil sebagai penyumbang.

PAS Kawasan Beruas melalui Lajnah Ekonomi serta PAS cawangan-cawangan dengan kerjasama JKKK akan melipatgandakan usaha untuk bergerak ke arah matlamat itu bermula di bulan Syawal yang penuh kegembiraan ini.

Input daripada semua pihak sangat dialu-alukan.